Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesara guru rugi RM72,500 ditipu Macau Scam


Tarikh kemaskini: 28/10/2019





KEPALA BATAS, 28 Okt -- Seorang pesara guru kerugian RM72,500 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kegiatan dadah dan pengubahan wang haram baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 60-an itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada sebuah bank mendakwa pesara guru tersebut mempunyai tunggakan pinjaman peribadi.

"Pesara guru itu menafikan dia mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebelum panggilan telefon tersebut disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis di Negeri Sembilan," katanya di sini hari ini.

Katanya wanita warga emas itu kemudiannya dimaklumkan ‘pegawai polis’ itu hasil semakan kad pengenalan mangsa, beliau terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, lelaki itu meminta mangsa memindahkan semua wangnya ke akaun bank yang kononnya milik pegawai mahkamah untuk tujuan siasatan dan wang akan dipulangkan setelah siasatan selesai.

Noorzainy berkata pesara guru itu yang ketakutan telah memindahkan semua wangnya secara berperingkat ke beberapa akaun diberikan sindiket tersebut membabitkan nilai RM72,500 dalam tempoh dua hari.

Katanya mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi ‘pegawai polis’ itu dan kemudian menceritakan perkara tersebut kepada anak perempuannya sebelum mereka membuat laporan polis berhubung perkara itu semalam.

Menurutnya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik semua akaun yang digunakan sindiket itu untuk siasatan lanjut.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel