Lebih 700 pegawai dan anggota polis Terengganu bersiap sedia hadapi banjir
Tarikh kemaskini: 28/10/2019

SETIU, 28 Okt -- Polis Terengganu telah mempersiapkan seramai 710 petugas termasuk pegawai dan anggota di seluruh negeri bagi menghadapi bencana banjir yang diramal berlaku pertengahan November ini.
Ketua Polis Datuk Aidi Ismail berkata jumlah tersebut termasuk anggota daripada pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 6, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Marin Wilayah Tiga dengan jumlah keseluruhan seramai 146 orang.
Beliau berkata bagi menghadapi sebarang kemungkinan, hanya 10 peratus anggota serta pegawai dibenarkan bercuti pada masa ini manakala selebihnya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan terdapat amaran kemungkinan berlaku banjir besar di Terengganu tahun ini.
"Kita juga telah mempersiapkan sebanyak 1,183 aset dan keperluan logistik termasuk bot, trak, lori, treler dan van bagi mengangkut serta memindahkan mangsa banjir.
"Difahamkan sebanyak 554 pusat pemindahan yang mampu menampung seramai 131,875 mangsa banjir telah dipersiapkan di seluruh negeri dan polis akan cuba sedaya upaya memberi khidmat terbaik untuk masyarakat agar semua urusan menyelamat dan pemindahan berjalan lancar," katanya selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Setiu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, hari ini.
Asisten Supt Burhanuddin Mustapha dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Setiu bagi menggantikan bekas Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supt, Zulkifli Mat Deris yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan.
Selain itu, Aidi berkata polis juga akan melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan banjir bagi mengelak kecurian dan kes pecah rumah.
Berikutan itu katanya, orang ramai tidak perlu risau dengan keselamatan harta benda mereka dan perlu segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan diri serta keluarga.
"Alhamdulillah tahun lepas tidak berlaku kes pecah di kawasan rumah yang ditinggalkan kerana anggota kita jalankan rondaan secara berkala.
"Kepada mereka yang ada anak-anak kecil sentiasa awasi mereka dan elakkan bermain di kawasan banjir, tepi sungai atau parit besar kerana banyak kes lemas berlaku di lokasi tersebut," katanya.
-- BERNAMA
|