Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga kali dilanda banjir dalam seminggu


Tarikh kemaskini: 28/10/2019





BUKIT MERTAJAM, 28 Okt -- Penduduk di kawasan Taman Sukun, Taman Sukun Indah dan Taman Amra di sini, mendakwa rumah mereka sudah tiga kali dilanda banjir kilat sejak seminggu lepas dan terbaru Sabtu lalu, sehingga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Taman Sukun Indah.

Mereka turut memaklumkan bukan saja menanggung kerugian kerana barangan rosak akibat banjir, malah kawasan penempatan tersebut kerap dilanda banjir kilat sejak kebelakangan ini, susulan sistem saliran kurang memuaskan.

Seorang mangsa banjir, Ramizah Razali, 37, berkata sejak tujuh tahun lepas penduduk di tiga taman itu terpaksa berhadapan banjir kilat, berikutan kurangnya kawasan tadahan malah air akan masuk ke rumah terutama di Lorong Sukun 2 dan 3, jika hujan lebat bagi tempoh lebih satu jam.

Katanya sejak minggu lepas, rumahnya telah tiga kali dilanda banjir kilat, kerana hujan lebat lebih dua jam dan pelbagai barangan antaranya perabot dan elektrik rosak sehingga kerugian lebih RM8,000.

"Setiap kali hujan lebat lebih sejam, kami penduduk perlu buat persediaan mengemas barangan ke tempat selamat, kerana air akan naik dengan cepat dan mendadak... tak tau sampai bila kami kena hadapi semua ini.

"Saya harap pihak berkuasa dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapatlah buat sesuatu untuk mengatasi masalah banjir kilat penduduk di sini, sejak minggu lepas tiga kali dah rumah dinaiki air, sebab sekarang ni kerap hujan lebat," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun Indah, di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir Mohd Faizal Hamzah, 41, mendakwa pembangunan yang terlalu banyak di kawasan itu telah menjejaskan kawasan tadahan dan sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik, antara punca banjir kilat kerap melanda kawasan mereka.

"Sejak hujung tahun lepas, kalau hujan baru setengah jam air mesti dah naik atas jalan, kalau lebih sejam (air) terus masuk dalam rumah kami... Pembangunan banyak sangat macam depan taman saya nak buat blok kedai, jadi depa tambun tanah, biasa air pergi ke sana, sekarang depa tambun tanah air tak boleh masuk sana, sebab tu masuk rumah penduduk," katanya.

Bagi Roslina Ahmad, 39, pula, beliau dan keluarga berpindah ke PPS itu sejak Sabtu, walaupun air yang masuk ke dalam rumah hanya paras buku lali, kerana tidak mahu mengambil risiko menunggu dalam rumah berikutan bimbang keselamatan lima anaknya  berusia antara lima dan 15 tahun.

"Tiga hari dah duduk di sini, memang air dalam rumah tak teruk tapi di kawasan perumahan kami air banjir tinggi kira-kira lepas lutut orang dewasa lah... jadi saya bimbang keselamatan anak-anak, sebab itu pilih duduk di PPS lebih selamat," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel