Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program sukan untuk belia PPR pupuk amalan gaya hidup sihat


Tarikh kemaskini: 28/10/2019





SEREMBAN, 28 Okt -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berharap agar Program Sukan Untuk Belia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai titik permulaan kepada semua penduduk PPR untuk menjadikan aktiviti bersukan sebagai satu amalan dan gaya hidup sihat.

Aminuddin berkata program ini yang diadakan di Rumah PPR Bersepadu Senawang ini juga merupakan salah satu program sempena Bulan Sukan Negara bagi memberi kesempatan kepada belia di PPR untuk terlibat dalam acara sukan dan aktiviti kecergasan.

"Diharapkan program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya ia boleh mempercepatkan proses ke arah Malaysia menjadi ‘sporting nation’.

"Ini sekaligus dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang cergas, aktif dan produktif dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran di masa depan di samping dapat mengekalkan kesihatan fizikal malah membina kekuatan mental seperti mengawal emosi, fokus, dan membina semangat berpasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Penutupan Program Sukan Untuk Belia Di PPR Peringkat Negeri Sembilan 2019 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berharap penganjuran program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim penduduk setempat tetapi secara tidak langsung memberikan kesan positif kepada kesihatan dan kecerdasan tubuh badan.

"Insyaallah... sama-sama kita pastikan gaya hidup sihat ini menjadi sebagai suatu amalan yang berterusan dalam memastikan matlamat dan objektif Bulan Sukan Negara dicapai sepenuhnya sama ada dari aspek kesihatan, ekonomi, perpaduan mahupun pengiktirafan," katanya.

Sementara itu, penduduk PPR Taman Jasmin, Muhd Remen Muslih, 16, berkata program ini sedikit sebanyak membantu mengembalikan minatnya dalam melakukan aktiviti sukan.

"Hari ini saya berkesempatan memasuki pertandingan street soccer.  Disebabkan saya sudah lama tidak bersukan jadi menerusi pertandingan diadakan ini sedikit sebanyak membantu saya bergiat aktif semula dalam bidang sukan," katanya.

Program Pembangunan Sukan untuk Belia di PPR ini adalah salah satu usaha dalam menjayakan hala tuju Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan 2016-2020 iaitu Pembangunan Sukan Berteraskan Blueprint Negara Bersukan.

Seramai 432 peserta terdiri daripada penduduk PPR Taman Jasmin, Senawang telah menyertai program diadakan selama satu hari ini dengan pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan street soccer, bola jaring, sepak takraw, beyblade, sukan rakyat dan sebagainya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel