ALOR SETAR, 29 Okt -- Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 244 orang apabila sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dekat Kubang Pasu, malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata PPS itu iaitu Dewan Kampung Tradisi Changlon dibuka pada pukul 10 malam bagi menempatkan 128 orang daripada 33 keluarga.
Katanya setakat pukul 8 pagi ini kesemua mangsa yang merupakan penduduk dari dua mukim iaitu Mukim Sungai Laka dan Mukim Temin, masih berada di PPS tersebut selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir kilat petang semalam.
“Hujan turun berterusan dari jam 2.30 petang semalam sehingga 5 petang mengakibatkan berlakunya banjir kilat di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara kampung dan kawasan terjejas di dua mukim tersebut ialah Kampung Padang 1, Kampung Padong, Kampung Masjid Titi Kerbau, Kampung Lembah Keriang, Kampung Baru Changlon, Pekan Lama Changlon, Kampung Nang Mah dan Kampung Kubang Kayu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pendang Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata mangsa banjir di Pendang masih kekal seramai 96 orang daripada 28 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Cenderawasih, setakat 9 pagi ini.
Katanya mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Sukamari, Kampung Hampar Kanan, Kampung Batu Hampar Kiri, Pondok Haji Husin, Kampung Seberang Pendang dan Kampung Tanah Merah Dalam.
Satu lagi daerah yang turut terjejas adalah Kulim di mana jumlah mangsa yang dipindahkan kekal 20 orang daripada lima keluarga setakat 9 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim Leftenan Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata mangsa yang terdiri daripada penduduk Kampung Penyengga dan Kampung Belakang Sekolah Cina itu ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Junjong.