Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Kedah lancar dua inisiatif tingkat pencegahan jenayah


Tarikh kemaskini: 29/10/2019





ALOR SETAR, 29 Okt -- Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini melancarkan dua inisiatif baharu iaitu ‘Crime Response Team’ (CRT) dan ‘Ronda Riadah’ dalam usaha pasukan beruniform itu meningkatkan pencegahan jenayah di negeri ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata melalui inisiatif CRT, seramai enam atau tujuh anggota polis akan melakukan rondaan di kawasan-kawasan terpilih yang mempunyai kadar jenayah tinggi dengan menaiki motosikal.

“Buat permulaan, pasukan CRT ini akan bergerak di daerah Kota Setar dan akan dikembangkan ke daerah lain. Mereka akan melakukan rondaan pada masa dan laluan yang telah ditetapkan dan merupakan pelengkap bagi mengekang jenayah daripada berlaku.

“Keutamaan pasukan CRT adalah melakukan rondaan dan pemerhatian terhadap penunggang motosikal kerana kebanyakan jenayah dilakukan dengan menggunakan motosikal antaranya kes ragut, dadah dan curi motosikal,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Oktober IPK Kedah di sini, hari ini.

Katanya inisiatif itu diharap dapat mengekang serta mengurangkan kes jenayah jalanan dan menurunkan kadar indeks jenayah sekali gus memastikan Kedah terus menjadi negeri yang selamat.

Zainuddin berkata Ronda Riadah pula adalah inisiatif untuk menggalakkan masyarakat yang juga peminat aktiviti berbasikal untuk beriadah sambil melakukan rondaan bersama pasukan polis.

“Sambil beriadah, masyarakat boleh lakukan rondaan cegah jenayah dengan anggota polis dan ini dapat beri pendedahan kepada mereka untuk lihat bagaimana polis jalankan tugas rondaan.

“Program ini akan dijalankan di setiap daerah tetapi waktu dan masa tidak ditetapkan kerana ia akan ikut kesesuaian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing. Maklumat tentang program akan dimaklumkan di laman sosial Facebook ‘Ronda Riadah PDRM Kedah’ dan masyarakat yang berminat boleh sertainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kadar indeks jenayah di Kedah mencatatkan penurunan 8.4 peratus bagi tempoh Jan hingga Sept tahun ini di mana sebanyak 4,187 kes jenayah dicatatkan berbanding 4,571 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel