Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Buaya perlu dilindungi walaupun belum diancam kepupusan - Liew


Tarikh kemaskini: 29/10/2019





KOTA KINABALU, 29 Okt  -- Walaupun buaya pada masa ini tidak menghadapi risiko kepupusan yang tinggi, namun usaha melindungi reptilia itu perlu diteruskan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew.

Beliau berkata buaya berperanan sebagai pemangsa terbesar dalam rantaian makanan di sungai dan tasik, menjadikan reptilia itu penting dalam mengekalkan keseimbangan dalam ekosistem air tawar dan muara yang kompleks.

"Apabila habitat tanah lembap terjaga, sumber perikanan juga terjaga. Buaya juga boleh menarik pelancong dan telah menjadi produk pelancongan yang menguntungkan di kawasan seperti di utara Australia," katanya dalam ucapan ketika melancarkan buku ' Opogi, A Borneon Crocodile’, di sini hari ini.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, buaya bukan spesies popular kerana reputasinya sebagai haiwan pemangsa.

Beliau berkata di Sabah, buaya pertama kali diberi perlindungan undang-undang pada tahun 1982 dan masih dilindungi hingga hari ini di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Pada tahun 2010, populasi buaya dianggarkan sekitar 13,000 hingga 15,000 dan kini Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Lapangan Danau Girang menjalankan kajian menyeluruh mengenai populasi buaya di sepanjang sungai utama di Sabah.

"Apabila kajian selesai pada bulan November ini, ia dapat menentukan populasi semasa dan demografi buaya di Sabah serta menentukan bilangan buaya berdasarkan perbandingan dengan angka terdahulu," katanya.

Sementara itu, pengarang buku, Jaswinder Kaur Kler berkata beliau mengambil masa setahun untuk menulis buku itu termasuk proses mengumpul gambar dan percetakan.

Beliau berkata buku itu memberi fokus kepada haiwan penting dan dilindungi yang terdapat di Sabah dan kisah perjalanan hidup seekor buaya di Kinabatangan.

"Menjadi matlamat kami untuk melihat pembaca mendapat pemahaman yang lebih baik mengenai spesies hidupan liar ini dan kenapa pentingnya untuk melindungi dan memulihara habitat mereka," katanya.

Buku 88 muka surat itu dijual dengan harga RM20 setiap satu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel