KADA mahu lebih ramai petani sertai Ladang Merdeka
Tarikh kemaskini: 29/10/2019

PASIR MAS, 29 Okt -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mahu lebih ramai petani di kawasannya mengambil pendekatan mencantumkan tanah sawah yang diusahakan bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi di negeri ini.
Pengerusinya Senator Datuk Husam Musa berkata pendekatan itu membolehkan pengurusan sawah diseragamkan, penggunaan teknologi mesin yang lebih berkesan sekali gus menguntungkan petani.
"Pendekatan ini sejajar dengan cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) agar bendang disatukan. Dengan penyatuan ini, penggunaan mesin dapat ditingkatkan keberkesanannya dan hasil lebih tinggi kerana keseragaman pengurusan dan ini menguntungkan petani.
“Saya harap lebih ramai petani di zon KADA boleh bersetuju mengizinkan tanah mereka dicantumkan untuk dijadikan sebagai Ladang Merdeka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pembahagian Hasil dan Zakat Ladang Merdeka Meranti, Senor dan Bakong di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut yang turut dihadiri Pengurus Besar KADA Nik Roslan Idris di sini, hari ini.
Sejumlah RM18,522 zakat dan RM211,759 pendapatan hasil padi disampaikan kepada 340 peserta di tiga ladang itu membabitkan 139.96 hektar yang diusahakan petani.
Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 16 Ladang Merdeka telah diwujudkan dalam kawasan KADA membabitkan keluasan 747 hektar melibatkan 2,988 orang peserta dengan hasil purata semasa sebanyak 5.80 metrik tan bagi setiap hektar sawah.
Ladang Merdeka mula diperkenalkan pada 1991 dengan keluasan 211.78 hektar dan diurus secara berpusat melalui modal daripada KADA dan keuntungan dibahagi kepada setiap peserta pada akhir musim berdasarkan keuntungan semasa dan keluasan tanah peserta.
Sementara itu, Husam berkata semua tanaman padi di kawasan KADA dijangka akan dituai dalam masa terdekat bagi mengelak terkesan dengan masalah banjir.
Bagaimanapun, katanya setakat ini hujan yang berlaku di Kelantan tidak memberi sebarang ancaman kepada tanaman padi di negeri ini.
-- BERNAMA
|