Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Guna jaket keselamatan, PLB dan alat komunikasi - APMM Terengganu


Tarikh kemaskini: 29/10/2019





KUALA TERENGGANU, 29 Okt -- Golongan nelayan dan pemancing yang berhasrat turun ke laut di Terengganu pada musim tengkujuh diingatkan agar menggunakan peralatan keselamatan serta alatan komunikasi terbaik.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata ia bagi memudahkan agensi penyelamat mengesan lokasi mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Kita tidak boleh menyekat mereka kerana itu mungkin sumber rezeki untuk golongan tersebut. Cuma kita nasihatkan agar mereka membuat persediaan rapi dan pastikan semua alatan berfungsi dengan baik sebelum turun ke laut.

"Paling penting, maklumkan kepada kami kawasan mana yang hendak dituju, pastikan memakai jaket keselamatan dan pasang 'Personal Locator Beacon (PLB)' kerana alat ini mampu membantu APMM ke lokasi dengan koordinat yang tepat," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses penghantaran stok barangan makanan sebanyak 3.8 tan ke Pulau Redang bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Muhammad Suffi berkata nelayan dan pemancing juga perlu membuat semakan ramalan cuaca sebelum turun ke laut.

"Persediaan ini amat penting kerana mereka boleh merancang perjalanan pergi dan pulang dari laut dengan selamat. Namun, ada juga berlaku cuaca semakin buruk tanpa diduga..sebab itu kita tekankan pentingnya mereka guna PLB dan peralatan komunikasi untuk memudahkan bantuan dihantar ke lokasi," katanya. 

Untuk rekod, APMM Terengganu telah mengadakan 18 operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada musim tengkujuh tahun lepas. 

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) di Terengganu bermula 24 Okt  hingga Mac depan dengan tahap banjir dijangka hampir sama dengan keadaan yang berlaku pada 2016 dan 2017.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel