Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PPM Wilayah Dua rampas minuman keras seludup bernilai hampir setengah juta


Tarikh kemaskini: 29/10/2019




JOHOR BAHRU, 29 Okt -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 221 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai RM446,696, yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini, semalam.

Pemangku Komander PPM Wilayah Dua, Supt Noor Azman Jamal berkata PPM menjalankan serbuan di sebuah stor penyimpanan di Taman Teratai, Kangkar Pulai, pada 1.30 tengah hari dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun, dipercayai penjaga stor tersebut.

Beliau berkata serbuan dilakukan hasil maklumat dan aduan orang awam dengan bantuan Balai Polis Kangkar Pulai.

“Kesemua 221 kotak itu di dalamnya berisi 1,438 botol dan 4,200 tin minuman keras pelbagai jenama dipercayai diseludup dari negara jiran yang turut didapati bercetak setem 'Malaysia Duty Not Paid',” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Noor Azman berkata, siasatan lanjut mendapati stor itu dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lepas.

“Kesemua minuman keras ini dipercayai untuk pasaran tempatan. Modus operandi sindiket ini ialah memindahkan stor penyimpanan minuman keras ke tempat berlainan bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” katanya menambah kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan permohonan untuk lelaki itu direman dilakukan di mahkamah hari ini.

Sehubungan itu beliau turut meminta orang awam menyalurkan maklumat berhubung penyeludupan minuman keras kepada PPM Wilayah Dua di talian 07-2372221 atau 2372222.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel