XnpFCNAlGC8 JBPM saran PBT tutup pusat rekreasi berisiko pada musim tengkujuh
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JBPM saran PBT tutup pusat rekreasi berisiko pada musim tengkujuh


Tarikh kemaskini: 29/10/2019





KUALA TERENGGANU, 29 Okt -- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  disaran segera menutup kawasan rekreasi berisiko termasuk air terjun, gunung dan pantai daripada dikunjungi orang ramai, pada musim tengkujuh.

Ketua Cawangan Pengurusan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata ia bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Katanya berdasarkan keadaan sebelum ini, walaupun amaran larangan diuar-uarkan oleh pihak berkuasa, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang berdegil dan menjalankan aktiviti riadah tanpa menghiraukan risiko keselamatan diri serta keluarga.

"Saya minta kepada semua  PBT, pihak swasta atau jabatan hutan supaya dihentikan sementara aktiviti seperti berkelah, mendaki bukit atau mandi-manda di kawasan jagaan masing-masing kerana risikonya sangat besar.

"Lebih baik mencegah kerana jika berlaku kes lemas atau sebagainya, agak sukar untuk pasukan penyelamat masuk kerana faktor cuaca dan risiko banjir serta kepala air," katanya kepada pemberita pada sidang media khas persediaan menghadapi banjir Terengganu di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengarah JBPM Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah.

Dalam pada itu, Mohamad Shoki berkata pihaknya telah mengenal pasti 178 lokasi di seluruh negeri yang terdedah kepada ancaman banjir yang diramal bermula pada pertengahan November ini.

Ia termasuk 27 lokasi di Marang, Besut (30), Setiu (21), Dungun (32), Kemaman (39) dan Hulu Terengganu (29) yang terletak sama ada di kawasan rendah, perumahan yang padat atau sistem perparitan yang tidak sempurna serta baik.

"Kita ada seramai 795 anggota dan pegawai bomba yang bersedia dikerah untuk bertugas ketika musim banjir. Ini belum termasuk penyertaan daripada bomba sukarela seramai 378 orang yang juga dalam keadaan siap siaga.

"Daripada segi persiapan aset dan logistik, kita jangka tidak berdepan masalah kerana mempunyai 41 bot dan 94 kenderaan darat yang boleh digunakan untuk tujuan pemindahan dan penyelamatan mangsa banjir," katanya.

 Sementara itu, Mohamad Shoki turut mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa mengambil langkah awal dengan berpindah segera selepas diarahkan dan mengenal pasti barang keperluan atau dokumen penting untuk dibawa.

Menurut beliau, langkah tersebut dapat memudahkan anggotanya melakukan kerja-kerja pemindahan dan penyelamatan mangsa banjir terutama apabila melibatkan jumlah yang ramai. 

"Apabila melibatkan jumlah yang ramai keadaan akan menjadi kelam kabut kerana anggota penyelamat perlu memikirkan yang mana perlu didahulukan.

"Ini akan menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana kita tak tahu bagaimana keadaan pusaran air dan boleh jadi bot akan terperangkap dalam situasi tersebut," katanya.

Beliau berkata pihak bomba juga telah selesai menjalankan pemeriksaan di 568 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri bagi memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi.

Selain itu, semua kelengkapan logistik juga telah ditempatkan di kawasan pedalaman yang sering terputus hubungan bagi memudahkan kerja membawa keluar penduduk sebaik hujan lebat melanda.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel