Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah rekod kematian 20 gajah dalam tempoh 10 bulan tahun ini


Tarikh kemaskini: 29/10/2019





KOTA KINABALU, 29 Okt -- Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah merekodkan sebanyak 20 ekor gajah didapati mati antara lain akibat diburu, dijerat atau diperangkap sejak awal tahun hingga Oktober ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata situasi berkenaan amat membimbangkan kerana bukan sahaja populasi gajah akan berkurangan akibat kekurangan habitat dan makanan tetapi juga disebabkan pemburuan haram.

“Keadaan ini akan menjejaskan imej Sabah sebagai destinasi ekopelancongan unggul dan juga akan menurunkan harga minyak kelapa sawit di pasaran dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Hari Gajah 2019 di Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk William Baya.

Program Hari Gajah anjuran JHL Sabah bertujuan memberi kesedaran mengenai isu ancaman terhadap gajah di Sabah selain memberi penghargaan kepada agensi dan orang perseorangan yang terlibat secara aktif dalam usaha konservasi gajah di negeri ini.

Liew berkata program kesedaran itu juga sebagai mengutuk jenayah hidupan liar terutama kegiatan pemburuan gajah dan berharap jenayah tersebut tidak akan berterusan.

Bagaimanapun, beliau yakin JHL dengan bantuan agensi penguatkuasaan lain termasuk polis, akan dapat mengesan pelaku yang melakukan kekejaman itu untuk ditangkap dan menjadi pengajaran kepada pemburu haram lain.

Sementara itu, Liew turut melahirkan penghargaan dan berterima kasih atas kerjasama diberikan oleh beberapa pengusaha ladang kelapa sawit khususnya di Telupid dalam aktiviti pengawalan konflik manusia dan gajah menerusi pemasangan pagar elektrik, translokasi gajah dan jaringan komunikasi yang kuat.

“Usaha sama seperti ini secara langsung dapat menangani masalah konflik gajah dengan lebih efisien dan cepat,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel