Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Banjir setiap kali hujan lebat, penduduk Kg Gangsa rayu bantuan


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





ALOR GAJAH, 30 Okt  -- Bila hujan lebat, pasti air naik. Tidak tahan dengan situasi itu, penduduk Kampung Gangsa di sini, merayu pihak berkuasa segera menaik taraf sistem perparitan di kampung mereka bagi mengelak banjir kilat.

Seorang suri rumah, Maimun Sharif, 46, berkata kejadian banjir kilat yang acap kali berlaku menyukarkan penduduk kampung kerana terpaksa membersihkan kediaman mereka beberapa kali terutama ketika musim hujan.

Beliau berkata  banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada parit yang sempit dan tidak mampu menampung air hujan yang banyak termasuk kehadiran sampah yang menyebabkannya tersumbat.

“Kejadian banjir kilat sering berlaku di sini, setiap kali hujan lebat pasti banjir. Saya harap pihak kerajaan menaik taraf sistem perparitan yang telah uzur dan tidak lagi dapat menampung aliran air yang banyak selain pertambahan bilangan rumah,” katanya kepada Bernama.

Maimun berkata kali ini rumahnya dan beberapa rumah di sekitar mula dinaiki air Isnin lepas dan ketika itu beliau tiada di rumah kerana sedang bercuti di Kuala Lumpur.

Maimun terpaksa membersihkan rumahnya semalam, sebaik sahaja pulang daripada bercuti.

Berkongsi kesulitan sama, pesara kerajaan yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Mat, 62, berkata dia dan keluarganya terbeban dengan masalah banjir itu selain khuatir dengan hakisan tanah yang mula berlaku di sebelah rumahnya.

“Saya risau jika masalah perparitan tidak segera diatasi, lama-lama tebing sebelah rumah kami akan runtuh… diharap pihak berwajib mengambil berat perkara ini sebelum terlambat,” katanya.

Pekerja swasta, Ibrahim Ismail, 44, pula berkata beliau dan isteri, Raihan Mustapha, 32, membuat persiapan awal setiap kali hujan lebat dengan mengalihkan barangan ke tempat tinggi dan selamat terutama barangan elektrik.

Bagaimanapun beliau berharap pihak berkaitan memikirkan cara mengatasi masalah banjir kilat itu seterusnya mengakhiri kesulitan penduduk yang sekian lama dibelenggu masalah itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel