Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Punca kebakaran akan diketahui dalam tempoh 48 jam - Bomba Pahang


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





KUALA LIPIS, 30 Okt -- Punca kebakaran di Kampung Baru Cina, Benta di sini dijangka dapat diketahui dalam masa 48 jam, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata pihaknya mempunyai beberapa saksi yang dapat membantu selain bukti fizikal di tempat kejadian.

“Saya tidak fikir ambil masa yang lama, mungkin dalam masa 48 jam ini kerana asasnya kita ada ramai saksi yang dapat kenal pasti di mana bermulanya lokasi (punca kejadian). Kita akan fokus mencari penghuni yang mendiami rumah itu dan pada masa sama kenal pasti punca berdasarkan penemuan fizikal yang ada di lokasi,” katanya di sini hari ini.

Nor Hisham ditemui Bernama ketika lawatan mengejut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke kawasan itu bagi menziarahi 22 mangsa terlibat.

Dalam kejadian kira-kira 1.08 pagi tadi, sebanyak 15 buah rumah di kampung itu musnah dalam kebakaran, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Wong Kam, 70, berkata kejadian berlaku ketika dia dan isteri sedang tidur sebelum tersedar apabila terdengar laungan suara orang menyuruh mereka keluar dari rumah.

Wong yang sudah menghuni di situ lebih 60 tahun segera mengejutkan isterinya dan lari menyelamatkan diri.

“Ada orang menjerit, rumah terbakar! Ada dua orang datang tolong. Api merebak cepat. Semua barang hangus,” katanya.

Wong berkata dia terharu kerana Seri Paduka berkenan menziarahi mangsa serta menyampaikan sumbangan kepada rakyat yang ditimpa bencana.

M. Ramany, 62, yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, dia dan suami tiada di rumah ketika kebakaran berlaku kerana berada di Mentakab, dekat sini.

Ramany yang sudah menetap 15 tahun di situ berkata dia akan tinggal di rumah anaknya yang terletak berhampiran kampung itu buat sementara waktu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel