Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FRIM sedia kerjasama dengan PBT urus pembangunan hutan bandar


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





MELAKA, 30 Okt  -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihat berkuasa tempatan (PBT) di negara ini bagi mengurus pembangunan hutan bandar menerusi kepakaran team arborist yang ditawarkan di institut itu.

Timbalan Ketua Pengarah FRIM Dr Khali Aziz Hamzah berkata pengurusan kawasan hutan bandar penting bagi mengelakkan pelbagai kesan alam atau bencana seperti pokok tumbang sehingga merisikokan nyawa penduduk selain memastikan keseimbangan pembangunan dan biodiversiti di kawasan bandar.

Beliau berkata menerusi team arborist yang terdiri dalam kalangan pakar agroteknologi itu, pihak PBT dapat mengenal pasti jenis tumbuhan yang bersesuaian ditanam di sesuatu kawasan selain mempraktikkan penjagaan yang betul bagi setiap pokok yang ditanam.

"Kami memang telah bekerjasama dengan banyak PBT di negara ini dan sentiasa bersedia untuk memberi khidmat nasihat berkaitan pengurusan hutan di kawasan bandar khususnya cara menguruskan tumbuhan yang ditanam.

"Kebelakangan ini, banyak kes ribut berlaku dan mengakibatkan pokok tumbang. Itu antara faktor atau pentingnya aspek pengurusan hutan yang betul dan kami di FRIM mempunyai kepakaran tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Simposium Kebangsaan Transformasi Pengurusan Bahan Rujukan Khazanah Warisan Negara Secara Bersepadu 2019 di sini, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew itu berlangsung dua hari bermula hari ini dan disertai lebih 50 peserta dari pelbagai agensi kerajaan negeri serta persekutuan bagi bertukar pandangan tentang pengurusan bahan rujukan berkaitan warisan.

Mengulas lanjut, Khali Aziz berkata FRIM sendiri membangun dan menguruskan kawasan di institut itu dengan pelbagai biologi terutama menerusi flora dan fauna yang mempu menyediakan biodiversiti yang mampan sebagai contoh terbaik dalam pengurusan hutan yang betul.

Beliau berkata pengurusan hutan bukan sahaja sebagai sumber pendapatan malah bagi mengimbangi ekosistem dan alam sekitar secara keseluruhan.

"Apa yang banyak berlaku sekarang ini mungkin kita terlepas pandang dan hanya fokus kepada aspek ekonomi...lupa hendak mengurus dari segi konservasi alam sekitar kerana keperluannya yang kita tidak dapat melihat secara terus atau jangka masa pendek," katanya.

Sementara itu, Tey berkata kerajaan negeri Melaka melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang menjalankan kajian pelaksanaan 'Kawasan Bebas Kenderaan' di tapak warisan dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) termasuk di sekitar Banda Hilir dan Jonker Street.

Beliau berkata kajian itu masih di peringkat awal kerana banyak perkara, isu dan kekangan perlu diteliti agar ia tidak memberi kesan negatif khususnya kepada penduduk, peniaga dan pelancong di kawasan terlibat.

"Kajian ini dilaksanakan secara berperingkat dan sebelum ini keputusan awal kami mendapat banyak respons negatif pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di kawasan terlibat dan kami mengambil kira semuanya," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel