Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan diminta bantu tiga industri berpotensi ke luar negara


Tarikh kemaskini: 30/10/2019




KOTA BHARU, 30 Okt -- Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK) meminta kerajaan negeri dan pusat memberi beberapa bantuan termasuk latihan dan kemahiran kepada pemain industri keusahawanan kosmetik, kesihatan serta perbidanan di negara ini.

Pengerusi KUWAK, Nor Ariati Salleh berkata ketiga-tiga industri itu dilihat memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara dan berpotensi diperluas ke peringkat global.

"Kelantan sendiri mempunyai beribu-ribu usahawan dalam ketiga-tiga industri ini, namun hanya beberapa produk sahaja mampu dipasarkan ke luar negara. Kami mahu kerajaan memberikan bantuan dari segi kemahiran, pengetahuan, kursus, pendidikan, teknikal dan kewangan bagi memperkuatkan jenama dan produk usahawan tempatan," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Nor Ariati berkata Program Himpunan Usahawanan Wanita Muda Kelantan 2019 yang akan diadakan pada 12 dan 13 Nov ini merupakan inisiatif pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan bagi membantu usahawan dalam industri terbabit di negeri itu.

"Kami akan menghimpunkan usahawan wanita dari industri terbabit di negeri ini selama dua hari dengan mengadakan pelbagai aktiviti antaranya lelongan, taklimat percukaian, kesihatan dan sebagainya,” katanya dan menambah, sesi ‘town hall’ bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli juga akan diadakan.

Beliau berkata sesi itu memberi peluang kepada usahawan berkomunikasi dan menyampaikan input diperlukan untuk mengukuhkan produk mereka ke pasaran luar negara.

"Sesi terbabit juga membolehkan usahawan memperoleh maklumat berkaitan insentif serta program yang ada di kementerian yang boleh membantu mereka (usahawan) untuk memperkuatkan jenama produk mereka," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel