Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

250 industri di Pasir Gudang diberi notis pengisytiharan pelepasan 


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





JOHOR BAHRU, 30 Okt -- Sebanyak 250 industri di kawasan Pasir Gudang diberikan notis arahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk mengemukakan maklumat bertulis berhubung pengisytiharan pelepasan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata pihak industri juga diberi masa selama 14 hari untuk mengemukakan maklumat pengisytiharan pelepasan itu.

Katanya, pengisytiharan pelepasan itu termasuk pelepasan efluen dan ia dilakukan bagi mengenal pasti industri yang berkemungkinan melakukan pencemaran.

“Notis arahan ini diberikan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan JAS mengingatkan kepada industri yang menerima notis arahan tersebut agar memberi maklum balas secepat mungkin.

“Pengisytiharan ini dikehendaki segera dan tindakan mahkamah akan diambil kepada industri yang gagal mematuhi notis arahan tersebut,” katanya dalam sidang media di Menara Aqabah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff.

Sementara itu ,Tan berkata JAS kini menjalankan penguatkuasaan secara risikan dan intipan dengan menggunakan teknologi drone bagi menjejaki industri yang melakukan pencemaran di kawasan Pasir Gudang.

Beliau berkata teknologi itu digunakan untuk memastikan kerja-kerja penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih cepat serta efektif dan penggunaannya juga akan tertumpu di kawasan sungai-sungai serta pelepasan industri.

“Menerusi intipan dengan menggunakan drone, JAS dapat menjalankan tugas penguatkuasaan dengan cepat terutama di kawasan-kawasan perindustrian yang sukar dimasuki.

“Kita juga berpendapat dengan drone punca-punca pencemaran dapat dipastikan, selain penguatkuasaan bersepadu bersama jabatan terlibat dan aduan awam ,” katanya.

Tan berkata, penggunaan drone itu bermula minggu lepas dan setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang pencemaran di Pasir Gudang.

Sementara itu, Mohd Famey berkata intipan menggunakan drone, yang mampu mencapai ketinggian sehingga 500 meter juga, boleh dijadikan sebagai bukti untuk pendakwaan di mahkamah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel