2iNJwfotahY PRK Tanjung Piai: Jentera Amanah siap sedia bantu calon PH
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PRK Tanjung Piai: Jentera Amanah siap sedia bantu calon PH


Tarikh kemaskini: 31/10/2019





PONTIAN, 31 Okt -- Jentera Parti Amanah Negara (Amanah) telah digerakkan dan bersiap sedia membantu calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 Nov ini.

Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata bagi Amanah, Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai adalah wakil kepada setiap parti komponen PH. 

"Seperti PRK sebelum ini, Amanah telah mengaktifkan semua bilik gerakan. Calon itu mewakili kita semua.

"Kita akan bantu sedaya upaya untuk memastikan sokongan rakyat kepada PH dan ia amat penting bagi melihat kepercayaan dan keyakinan mereka (rakyat) terhadap PH di sebalik fitnah yang akan dimainkan pihak tertentu," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Rahmah dan Wacana Murabbi Ummah Negeri Johor di Taman Negara Johor, Tanjung Piai, dekat sini hari ini.

Mujahid juga yakin PH mampu memenangi serta mengekalkan kerusi Parlimen tersebut namun ia bergantung kepada jentera parti untuk meyakinkan pengundi di kawasan itu supaya dapat meneruskan legasi dan visi Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung. 

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 Nov ini, manakala tarikh penamaan calon PRK itu Sabtu ini dan pengundian awal diadakan pada 12 Nov.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Md Farid memenangi kerusi Parlimen itu mewakili PH dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel