VcCYIMytMM8 Malaysia teruskan projek RTS dengan kos terbaharu RM3.16 bilion
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia teruskan projek RTS dengan kos terbaharu RM3.16 bilion


Tarikh kemaskini: 31/10/2019





JOHOR BAHRU, 31 Okt -- Malaysia bersetuju meneruskan projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) dengan kos terbaharu RM3.16 bilion.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kos terbaharu itu adalah penjimatan sebanyak 36 peratus atau RM1.77 bilion berbanding kos asal iaitu RM4.93 bilion.

"Kita akan teruskan dengan projek itu dan selesaikan sedikit isu kesesakan lalu lintas.

"Butiran projek akan dibincangkan bersama kerajaan Singapura," kata Dr Mahathir pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 18 Okt, Kementerian Pengangkutan Malaysia mendapat kelulusan kabinet untuk meneruskan projek Laluan RTS dengan perubahan kepada struktur, skop dan spesifikasi projek.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Dengan pengumuman untuk meneruskan RTS, ia sekaligus membuktikan komitmen Malaysia dengan Singapura, kata Dr Mahathir.

“Kita akan patuh pada janji kita. (Projek RTS) ditangguh seketika, sekarang ini kita telah bersedia dan kita akan bina (RTS).

“Cerita kita cakap kita nak menangguh enam bulan lagi… itu suratkhabar punya cerita,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Loke dalam satu sidang media berlainan berkata satu ciri penting dalam struktur projek RTS yang telah disemak semula oleh pihaknya adalah mengenai penglibatan pemaju atau pemilik tanah Bukit Chagar untuk membiayai dan membolehkan projek ini diteruskan dengan kos tanah yang dikecualikan.

“Digabungkan dengan kos pembinaan dan sistem rel yang dioptimumkan, kerajaan berjaya mencapai penjimatan yang ketara sekaligus menjadikannya lebih berdaya maju dari segi kewangan,” katanya.

Katanya, untuk pelaksanaan projek itu, Prasarana Malaysia Bhd (PMB) akan terus kekal sebagai wakil Malaysia dalam syarikat usahasama pengendali kereta api (JV OpCo) dan turut diberi mandat untuk berbincang dengan syarikat pengendali kereta api Singapura, SMRT untuk memuktamadkan terma di dalam Perjanjian Usahasama. 

Sementara itu, bila kedua-dua pihak akan menandatangani perjanjian baharu mengenai supaya kerja-kerja pembinaan projek dapat dilakukan segera, Loke berkata ia dijangkakan dapat dibuat pada awal tahun hadapan.

“Kita tidak boleh menjangkakan yang kita membuat satu keputusan hari ini, kita boleh saja esok.

“Terdapat proses yang perlu kita lakukan berhubung pindaan perjanjian dua hala dan terdapat juga beberapa lagi perjanjian yang perlu kita tandatangani.

”Satu daripadanya perjanjian usahasama dan perjanjian pembinaan antara Prasarana and SMRT (syarikat pengendali kereta api Singapura). Jadi, kesemuanya terdapat tiga perjanjian yang perlu kita tandatangani dengan Kerajaan Singapura termasuk perjanjian dua hala yang dipinda itu,” katanya.

Sementara itu, Singapura mengalu-alukan keputusan Malaysia untuk meneruskan projek itu.

"Kedua-dua pihak kini membincangkan perubahan kepada projek itu, yang mana Malaysia mencadangkan untuk mengurangkan kos projek," menurut Kementerian Pengangkutan republik itu dalam satu kenyataan.

Kementerian itu memaklumkan bahawa memandangkan perubahan berkenaan akan memerlukan pindaan kepada Perjanjian RTS Link, perbincangan akan mengambil masa.

"Kedua-dua pihak bekerja keras dalam hal ini," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel