Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPDNHEP rampas tepung gandum, minyak masak bernilai RM30,847 di Rantau Panjang


Tarikh kemaskini: 31/10/2019





KOTA BHARU, 31 Okt -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas barang kawalan bernilai RM30,847 dalam satu serbuan di premis pemborong tepung gandum di Rantau Panjang, Pasir Mas semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata serbuan itu dilakukan pada 10 pagi oleh anggotanya di premis terbabit dalam Operasi Barang Kawalan Sempadan.

"Hasil daripada pengauditan dilakukan oleh Unit Kawalan Bekalan KPDNHEP Kelantan telah mengesyaki terdapat penyelewengan barang kawalan untuk dibawa ke negara jiran, Thailand.

"Pemeriksaan ke atas premis terbabit, anggota kami menemui tepung gandum bersubsidi 1 kilogram (kg) sebanyak 10,100 kg ditemui bersebelahan premis itu bernilai RM13,635.00," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azanizam berkata, pemeriksaan selanjutnya di belakang premis itu anggotanya turut menemui minyak masak bersubsidi 1 kg sebanyak 6,885 kg bernilai RM17,212 yang disimpan di dalam sebuah lori.

"Kami mendapati modus operandi bagi kes ini, premis berlesen mendapatkan barang kawalan bersubsidi di pasaran negeri Perak, Pulau Pinang dan Pahang seterusnya barang kawalan itu dibawa ke negara jiran.

"Bagi mengaburi pegawai penguatkuasa, pemilik lesen akan menyimpan barang kawalan bersubsidi itu di alamat yang tidak dilesenkan," katanya dan pihaknya turut menyita sebuah lori bernilai RM40,000.

Bagi kesalahan pertama pemilik premis disyaki melakukan kesalahan menyimpan dan memindahkan serta mengalihkan barang kawalan tepung gandum bersubsidi dari tempat dilesenkan ke alamat yang tidak dilesenkan oleh KPDNHEP di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961. 

"Kesalahan kedua, pemilik premis disyaki memiliki barang kawalan minyak masak bersubsidi tanpa lesen oleh KPDNHEP di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta bagi setiap barang kesalahan yang dilakukan atau didenda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel