Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk Kampung Kemubu mohon jambatan merentasi sungai


Tarikh kemaskini: 31/10/2019




KUALA KRAI, 31 Okt -- Lebih 1,000 penduduk di Kampung Kemubu di sini, merayu kerajaan membina sebuah jambatan konkrit merentasi Sungai Kelantan di kampung itu, bagi memudahkan perhubungan ke kampung lain di seberang sungai berkenaan. 

Ketika ini, penduduk yang berulang-alik ke beberapa kampung lain di seberang sungai itu menggunakan laluan khas berhampiran jambatan kereta api yang hanya boleh dilalui motosikal dan laluan itu mendedahkan penduduk kepada bahaya.

Seorang penduduk Kampung Kemubu, Che Hasmah Mat, 66, berkata pembinaan jambatan konkrit itu penting bagi memudahkan penduduk berulang alik setiap hari. 

Bagi penduduk yang mempunyai kenderaan seperti kereta atau lori, mereka terpaksa melalui jalan Dabong-Jelawang untuk ke beberapa kampung di seberang termasuk ke Gua Musang dengan jarak perjalanan terlalu jauh berbanding jika dibina jambatan konkrit.

Beliau berkata, pernah berlaku tragedi jambatan kereta api itu runtuh ketika banjir besar pada Disember  2014 sehingga menyebabkan semua penduduk terputus hubungan dan jambatan itu mengambil masa tiga tahun untuk dibaik pulih. 

"Kami masih teringat kejadian yang tidak pernah berlaku dalam sejarah, jambatan kereta api runtuh hingga kami semua terpaksa melalui Jalan Dabong untuk ke mana sahaja dan mengambil tempoh yang agak panjang bagi membaik pulih jambatan itu," katanya.

Seorang lagi penduduk, Sulaiman Ahmad, 60, berkata ekoran jambatan itu runtuh, penduduk terpaksa menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Kelantan yang menambahkan bebanan perbelanjaan mereka.

Beliau berkata bebanan itu lebih dirasai penduduk yang menoreh getah di seberang sungai untuk berulang alik dan membawa getah skrap untuk dijual.

Walaupun kejadian itu kini menjadi kenangan dalam hidup penduduk namun mereka masih dibayangi kebimbangan kemungkinan berlakunya banjir besar kali kedua. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel