Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Negara ucap selamat tinggal kepada TV analog


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





SIBU, 31 Okt  -- Selepas 56 tahun, rakyat Malaysia akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada sistem penyiaran televisyen (TV) analog yang ditamatkan sepenuhnya tengah malam ini selepas Sabah dan Sarawak menjadi kawasan terakhir menutup siaran analog tersebut.

Sebanyak 26 stesen pemancar di Sarawak dan 16 di Sabah termasuk di Labuan menjadi stesen terakhir melakukan ‘Ánalogue Switch Off’ (ASO) secara serentak pada jam 12.30 tengah malam ini.

ASO merujuk kepada proses peralihan siaran TV yang ditawarkan secara percuma kepada rakyat Malaysia oleh RTM sejak 1963 dan TV3 pada 1984.

Malaysia adalah negara ketiga di ASEAN melakukan peralihan siaran TV analog selepas Brunei dan Singapura beralih kepada siaran TV Digital masing-masing pada 31 Disember 2017 dan 1 Januari 2019.

Seperti biasa setiap kali bila hendak memamatkan siaran di tengah malam, RTM akan memainkan lagu Negaraku‘.

Tetapi lain pula pada malam yang bersejarah di Stesen Pemancar di Bukit Lima di sini, apabila pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan petugas stesen berkenaan menyanyikan lagu kebangsaan sebagai tanda tamatnya siaran TV analog.

Ketua Jabatan Platform Pengedaran dan Penciptaan Digital SKMM, Azlina Mohd Yusof ,yang hadir pada majlis ringkas itu, berkata, antara persediaan yang dibuat sebelum peralihan itu ialah memastikan sistem digital berjalan dengan sempurna.

“Apa yang berlaku selepas penamatan siaran analog ini ialah penonton akan melihat grafik statik mengenai perkhidmatan ‘myFreeview’ yang ditawarkan secara percuma. Itu bagi mereka yang belum mempunyai dekoder  myFreeview itu,” katanya kepada wartawan Bernama dan RTM.

Grafik statik itu akan disiarkan selama seminggu dan selepas itu skrin televisyen hanya akan menayangkan bintik-bintik hitam putih.

“Bagi mereka yang sudah ada ada myFreeview, siaran akan berjalan seperti biasa,” katanya.

Di SANDAKAN, hujan lebat di Stesen Pemancar Telekom Malaysia (TM) Bukit Trig di sini tidak menghalang majlis penutupan rasmi siaran TV analog di Sabah.

Penutupan secara rasmi siaran TV analog disaksikan Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob.

Majlis itu turut dihadiri Pengurus Besar TM Sabah, Mohd Sainal Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Holdings, Chelvakumar G Krishnan, Pengarah Kanan Pemboleh Digital SKMM, Nor Akmar Shah Minan, Naib Presiden Bahagian Kawal Selia MYTV, Shamsul Najib, Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Roslan Mohamad dan Pengarah Penyiaran Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi.

Perkhidmatan TV digital di bawah penjenamaan myFreeview ini adalah satu inisiatif kerajaan yang diberi secara percuma kepada rakyat, dikendalikan syarikat MYTV Broadcasting Sdn Bhd secara pembiayaan sektor swasta..

Menerusi siaran TV digital myFreeview, penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif melalui saluran TV termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV Alhijrah, Bernama News Channel, dan TV Okey serta enam saluran radio.

Golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 yang terpilih pula mendapat set dekoder percuma untuk menikmati perkhidmatan yang disediakan tanpa bayaran bil bulanan.

Orang ramai yang berminat untuk membeli dekoder berkenaan boleh mendapatkannya menerusi laman sesawang https://myfreeview.tv atau menghubungi talian 1800181088 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel