Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

7,200 pendatang haram, semua PTS di Sabah kini sesak


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





TAWAU, 1 Nov  -- Kesemua empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah ketika ini sesak dengan 7,200 tahanan pendatang haram dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Filipina dan China.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata  kesesakan itu berpunca ekoran kapal yang sepatutnya membawa pendatang haram warga Filipina untuk tujuan pengusiran kini dalam proses selenggara.

"Syarikat yang diberikan perkhidmatan tender bagi menguruskan perkhidmatan pengusiran berdepan isu kapal, ketika ini kapal dari Filipina itu sedang melalui proses ‘drying dock’ (proses memastikan keselamatan kapal dan pelayaran) selama dua bulan.

"Bagaimanapun, proses servis itu akan selesai dan dijangka pada 10 Nov ini kapal berkenaan beroperasi semula dengan membuat pelayaran ke perairan Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program suntikan vaksin hepatitis V dan vaksin influenza melibatkan 103 pegawai dan anggota MKN di sini, hari ini.

Empat PTS yang terdapat di Sabah adalah di Papar, Kota Kinabalu, Sibuga di Sandakan dan Tawau.

Dalam pada itu, Sharifah Sitti Saleha turut memuji kerjasama diberikan Konsulat Republik Indonesia di negeri ini yang cekap dan pantas menguruskan penghantaran balik warga republik itu ke Indonesia melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.

"Bagi warga Filipina pula dihantar melalui Pelabuhan Sandakan ke Zambonga Filipina," katanya menambah sehingga Ogos tahun ini, MKN telah menghantar 7,844 warga asing pulang ke negara asal.

Sementara itu, berhubung dakwaan berlakunya kehilangan barangan milik tahanan di PTS, Sharifah Sitti Saleha meminta individu yang terlibat membuat laporan polis dan aduan rasmi kepada MKN.

"Supaya kami (MKN) dapat membuat siasatan lanjut, kerana apa yang berlaku sekarang ini cuma 'hearsay', kalau boleh mana yang terlibat buat aduan polis agar ’team’ boleh buat siasatan," katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita berhubung dakwaan itu.

Berkaitan program hari ini, Sharifah Sitti Saleha berkata ia program julung kali diadakan MKN dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang turut melibatkan 480 pegawai dan anggota di seluruh PTS di negeri ini diberi suntikan vaksin.

Sharifah Sitti Saleha berkata program ini inisiatif MKN untuk menjaga kebajikan petugasnya yang berisiko dihidapi penyakit berjangkit daripada tahanan ketika melaksanakan tugas seharian di semua PTS di Sabah.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada anggota atau pegawainya yang dilapor dijangkiti penyakit berjangkit ketika bertugas.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel