Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Johor siasat pemilik Facebook didakwa aib calon PH


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





PONTIAN, 1 Nov -- Polis Johor sedang menjalankan siasatan berhubung satu laporan mengaitkan pemilik akaun Facebook yang didakwa telah mengaibkan bakal calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, laporan itu telah diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada 29 Okt.

Beliau berkata, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sekarang ini masih dalam proses mengenal pasti siapa pemilik akaun peribadi itu dan sekiranya telah dikenal pasti kita akan menjalankan tangkapan ke atas suspek di bawah seksyen itu," katanya pada sidang media khas di IPD Pontian di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada pihaknya menerima sebarang laporan polis berhubung sebarang insiden berkaitan PRK itu.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 Nov ini, manakala penamaan calon akan diadakan esok dan pengundian awal pada 12 Nov.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Md Farid mewakili PH memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel