Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Selangor bentang Belanjawan 2020 berjumlah RM2.33 bilion


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





SHAH ALAM, 1 Nov  -- Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2020 berjumlah RM2.33 bilion yang berpaksikan kepada lima strategi utama, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut RM1.2 bilion atau 51.44 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.133 bilion atau 48.56 peratus untuk pembangunan.

“Belanjawan 2020 negeri Selangor dijangka akan mengalami defisit berjumlah RM133 juta berpunca daripada peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan.

“Jumlah defisit ini menyaksikan penurunan berbanding jumlah defisit pada 2019 iaitu RM360 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor yang bertemakan 'Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat' pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata anggaran perbelanjaan mengurus bagi Belanjawan 2020 itu dibuat berpandukan rangka sifar belanjawan yang memberi keutamaan kepada emolumen, utiliti sewaan, penyelenggaraan dan item berkontrak.

Katanya, daripada peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus pada tahun depan, sejumlah RM430.76 juta adalah untuk emolumen dan RM506.95 juta pula bagi perkhidmatan dan bekalan.

“Sebanyak RM4.47 juta untuk pembelian aset dan RM161. 29 juta disediakan untuk pemberian dan bayaran tetap serta RM96. 53 juta untuk perbelanjaan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata belanjawan itu turut mencadangkan peruntukan pembangunan berjumlah RM1.133 bilion yang pembangunan fizikal terus menjadi nadi kepada belanjawan tersebut.

Jelasnya, daripada jumlah berkenaan, 31.2 peratus disediakan bagi menampung perbelanjaan pembangunan infrastuktur manakala 29.9 peratus pula untuk pembangunan ekonomi.

Mengulas lanjut, beliau berkata belanjawan itu turut menumpukan kepada lima strategi utama iaitu menjana pertumbuhan dan pemberdayaan ekonomi negeri, merencana agenda pendidikan unggul, mewujudkan Selangor yang selamat, sihat serta sejahtera, menjamin kelestarian alam dan menjuarai kemampanan sosial.

“Bagi Selangor, kita mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan kestabilan ekonomi dan sosial negara berkekalan.

“Titik keseimbangan antara pembangunan yang berteraskan ciri-ciri negeri pintar atau smart state, sektor perkhidmatan dan pembuatan, dan kemampanan sosial dijalinkan secara adil bagi memastikan rancangan dan pelan fiskal pembangunan kerajaan berada dalam keadaan saksama,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan melengkapkan kesemua usaha itu bagi mencapai matlamat Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel