Venom Audio sasar jumlah pengedar sah di Malaysia meningkat pada 2020
Tarikh kemaskini: 01/11/2019

SUBANG, 1 Nov -- Syarikat pengeluar sistem audio yang berpangkalan di Indonesia, Venom Audio menyasarkan jumlah pengedar sah di Malaysia meningkat daripada 25 pengedar pada masa ini, pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Venom Audio Irwan Kusuma berkata sasaran itu berdasarkan sambutan yang baik daripada pengguna di Malaysia terhadap produk tersebut.
“Produk itu semakin diketahui dan mula mendapat tempat dalam kalangan penggemar sistem audio kereta di Malaysia,” katanya kepada Bernama sebelum perjumpaan kali kelima bersama Venom Fighter Community di Hotel Dorsett Grand Subang di sini hari ini.
Turut hadir Pengasas Micro-Precision Audio (Jerman), Thomas Hoffman dan Pengarah Urusan Bewith Enterprise (Jepun), Toshi Nakashima dan Venom Fighter Community yang terdiri daripada pengguna produk Venom Audio dari Singapura, China, Taiwan, Hong Kong, Vietnam dan Indonesia.
Irwan juga berkata Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi perjumpaan kali ini untuk mempromosikan jenama sistem audio kereta itu yang telah berada dalam pasaran Malaysia sejak 2017.
“Kami berharap Malaysia akan menjadi negara yang menguasai pasaran sistem audio seperti Indonesia memandangkan arah aliran sistem audio kereta adalah sama antara dua negara,” katanya.
Pengarah Urusan Venom Global Enterprise Malaysia Thomas Yong berkata Malaysia mempunyai peluang pasaran yang cerah selepas mendapat maklum balas yang baik daripada pengguna Malaysia.
“Walaupun pada mulanya jualan di pasaran Malaysia tidak begitu memberangsangkan tetapi selepas mempunyai 25 pengedar yang sah di seluruh Malaysia, Venom Audio mula mendapat tempat dalam kalangan penggemar sistem audio dan aksesori kereta,” katanya.
Beliau berkata syarikat itu kini mempunyai tujuh pengedar eksklusif di Asia, termasuk Thailand, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Malaysia.
Terkenal dengan produk pembesar suara ‘DSP Plug & Play’, Venom Audio turut memperkenalkan produk baharu Bewith dari Jepun dan Micro-Precision Audio dari Jerman.
-- BERNAMA
|