Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bot karam: mangsa selamat hanyut tiga hari


Tarikh kemaskini: 01/11/2019




 

LAHAD DATU, 1 Nov  -- Mangsa lelaki yang selamat dalam kejadian bot karam pada Khamis lalu mendedahkan bot dinaikinya dari Bongao menuju ke Sibutu, Filipina, karam pada 22 Okt, sebelum ditemui hanyut di perairan Merabung, Tungku, Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata pada 6 petang 22 Okt itu Long Sahlihi, 29, bersama anak perempuannya Zia, 1, ke jeti bot penumpang di Bongao bertujuan hendak balik ke Sibutu untuk menghadiri pesta kanak-kanak sekolah pada 6 petang.

"Berdasarkan keterangan mangsa, setibanya di jeti, terdapat satu bot penumpang mahu ke Sibutu, dan di atas bot ada empat lelaki, serta seorang wanita lain. Mangsa dan anaknya turut menaiki bot berkenaan dan menyerahkan tambang 200 peso kepada juragan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nasri, bot dinaiki mangsa karam selepas sejam perjalanan dengan hadapan bot tenggelam ke laut. 

“Dalam keadaan kelam kabut, mangsa merangkul anaknya dan mencapai satu tong jerikin dan berpaut pada tong berkenaan. Mangsa menyedari anaknya terlepas daripada dakapannya pada keesokannya dan hari ketiga kejadian (Khamis) mangsa ditemui dan diselamatkan di perairan Merabung," katanya.

Nasri berkata kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat keputusan sama ada mangsa yang direman sejak 24 Okt lalu, didakwa atau sebaliknya. 

Sebelum ini, Nasri berkata mangsa enggan bekerjasama dan bertindak berdiam diri ketika soal siasat dijalankan.

Media melaporkan sebelum ini, sembilan individu menaiki sebuah bot dari Sibutu, Filipina, bagaimanapun, bot itu dipercayai karam, dan seorang mangsa lelaki yang selamat ditemui di perairan Merabung, Tungku dekat sini pada Khamis lepas.

Dua mayat masing-masing seorang lelaki dan wanita dipercayai mangsa bot karam itu ditemui terapung di perairan Bangingod, Tungku pada Jumaat dan perairan Pulau Mataking, Semporna pada Sabtu, menjadikan enam orang masih hilang.

Sementara itu, Pasukan Polis Marin (PPM) menamatkan sepenuhnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 29 Okt lalu selepas enam hari pencarian mangsa di perairan Lahad Datu, Semporna sehingga sempadan Filipina.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel