Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Isu rasuah perlu dilapor dengan penuh tanggungjawab - Latheefa


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





PUTRAJAYA, 1 Nov  -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan pengamal media untuk melaporkan sesuatu isu rasuah dengan penuh tanggungjawab bagi mendidik masyarakat, serta mendedahkan kepada mereka tentang bahayanya rasuah kepada negara.

Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya berkata media harus melaporkan secara bertanggungjawab setiap isu rasuah, menjelaskan kepada masyarakat maklumat sebenar, sehingga masyarakat benci dan jijik dengan rasuah.

"Pengamal media tidak boleh mudah terpengaruh dengan pihak-pihak berkepentingan dalam sesuatu isu sahaja.

"Pengamal media mesti mampu mengenali puak-puak yang mempergunakan media, demi kepentingan mereka semata-mata, dan bukan demi pembangunan bangsa dan negara.

"Misalnya, mereka yang menggunakan isu rasuah untuk mendapat kedudukan dan menggunakan isu rasuah sebagai senjata menjatuhkan pihak lain semata-mata demi kepentingan mereka," katanya dalam majlis Malam Apresiasi Media 2019, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang, ketua pengarang serta pengamal media.

Latheefa berkata walaupun wujud kepelbagaian agenda yang dibawa setiap organisasi media, namun dalam isu rasuah, pengamal media haruslah bersatu dan senada. 

"Jenayah rasuah tidak harus diberi ruang sama sekali untuk meracuni dan meruntuhkan pembangunan negara kita," katanya.

Beliau berkata media merupakan antara komponen pembangunan masyarakat yang amat penting bagi sesebuah negara membangun seperti Malaysia.

"Media memainkan peranan besar membawa wadah kesedaran sosial terhadap perkara-perkara yang berkisarkan kepada isu kepentingan, kebajikan serta keadilan masyarakat, secara keseluruhannya.

"Sebab itulah, tugas wartawan bukan sekadar melaporkan berita semata-mata, laporan itu mestilah mempunyai ‘jiwa’ yang berperanan membawa kesedaran dan mendidik masyarakat, terhadap sesuatu isu dan masalah sosial termasuklah isu rasuah," katanya.

Selain itu, Latheefa berkata media perlu membantu SPRM dalam menjayakan siasatan mereka dengan tidak melaporkan sesuatu kes, semasa masih dalam siasatan, sehingga mampu menjejaskan proses tersebut.

Beliau berkata komitmen yang ditunjukkan pengamal media secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada warga SPRM, untuk terus melaksanakan tugas dan memikul amanah dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa secara habis-habisan.

"Secara peribadi, saya cukup kagum dengan hubungan akrab dan jalinan kerjasama ini, adalah menjadi harapan saya, agar hubungan baik sesama kita ini dapat kekal berpanjangan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel