Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jualan Proton naik kepada 80,000 unit


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





KUALA LUMPUR, 1 Nov -- Jualan Proton terus meningkat sehingga mencecah 79,833 unit membabitkan pasaran domestik dan eksport dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, merekodkan pertumbuhan sebanyak 46 peratus.

Pembuat kereta itu dalam satu kenyataan berkata peningkatan itu merupakan satu pencapaian yang luar biasa memandangkan jumlah keseluruhan industri (TIV) di Malaysia telah menyusut sebanyak 1.3 peratus.

Bahagian pasarannya pada tahun ini dianggarkan sebanyak 16 peratus, naik 5.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Proton juga telah mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dalam jadual jualan keseluruhan, ia yakin dapat mengekalkan kedudukan itu sampai ke penghujung 2019. 

Proton X70 terus mengekalkan kedudukannya sebagai kenderaan premium dan SUV yang paling laris di Malaysia, manakala Proton Saga mencecah angka jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 51 bulan pada Oktober. 

"Lebih 28,000 tempahan telah diterima setakat ini (untuk Proton Saga model 2019) dan dalam Oktober, model tersebut mencatatkan angka jualan tertinggi selama lebih empat tahun. Sejumlah 4,273 unit telah dijual pada bulan lepas dan bagi 10 bulan pertama tahun, jumlah keseluruhan adalah sebanyak 30,331 unit, peningkatan 26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Sama dengan Exora, Iriz dan Persona, model-model ini juga telah menunjukkan kenaikan jualan dan secara keseluruhan, jualan untuk ketiga-tiga ini bersama model Saga telah menokok 21 peratus setakat ini. Model-model tersebut juga menyumbang 78 peratus daripada jumlah jualan Proton pada Oktober dan sepanjang tahun, angka itu mencecah 68 peratus," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata: "Dalam tempoh hanya selama lapan bulan, kami telah melancarkan SUV pertama kami dan menaik taraf kesemua model kami, menjadikan Proton sebagai pemilik kepada rangkaian model yang kelihatan segar berbanding mana-mana jenama kereta di Malaysia. Kerja keras kami telah berbayar dengan peningkatan jualan dan kami kini yakin dapat menjual sebanyak 100,000 unit pada 2019, ini menyediakan kami dengan asas yang lebih kukuh untuk bergerak memasuki 2020 dan lebih jauh lagi,".

Proton kini mempunyai sejumlah 108 cawangan 3S/4S dengan empat lagi dibuka pada Oktober lepas.

Menurut syarikat itu, melihat kepada pembukaan lebih banyak cawangan, Proton terus melabur dalam program latihan untuk kakitangan jualan serta perkhidmatan bagi memastikan tahap premium jenama itu adalah sepadan dengan aspirasi yang dijanjikan.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel