Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Universiti Limkokwing tawar biasiswa untuk ratu cantik pelancongan antarabangsa


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





 

CYBERJAYA, 1 Nov  -- Bermula tahun ini, pemenang dan tempat kedua peraduan Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa ditawarkan biasiswa bernilai RM1 juta bagi mengikuti sebarang kursus di mana-mana kampus Universiti Kreatif dan Teknologi LimKokWing di seluruh dunia.

Penajaan selama empat tahun kepada kedua-dua pemenang itu dimuktamadkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara universiti berkenaan dan Miss Tourism International di kampus utama universiti itu di sini, hari ini.

Miss Tourism International diwakili oleh presiden dan pengasasnya, Tan Sri Danny Ooi manakala Universiti Kreatif dan Teknologi LimKokWing diwakili Joud Ali Khomayes, daripada Fakulti Fesyen dan Gaya Hidup Kreativiti.

Ooi, dalam ucapannya, berkata memorandum itu membawa kerjasama antara kedua-dua pihak yang telah bermula sejak lima tahun lalu ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut laporan sebelum ini, sejak 2014, Universiti LimKokWing  telah menerima geran biasiswa berjumlah RM3 juta untuk Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa mempromosikan edu-pelancongan ke seluruh dunia.

Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2019 akan dimahkotakan pada peringkat akhir pertandingan itu di ibu negara Jumaat depan.

Pertandingan yang memasuki edisi ke-22 tahun ini diadakan buat pertama kalinya di Sarawak pada 1994.

Seramai 40 peserta akan merebut gelaran itu tahun ini. Antara peserta yang memasuki pertandingan itu tahun ini adalah dari Australia, Bulgaria, Mesir, Macedonia dan Ukraine manakala Malaysia diwakili oleh Cheryl Loo.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel