UMS berhasrat kaji resepi keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sabah
Tarikh kemaskini: 01/11/2019

KOTA KINABALU, 1 Nov -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhasrat membuat penyelidikan bagi merungkai kunci rahsia di sebalik perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian etnik di Sabah, untuk dipraktikkan di tempat lain.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof Madya Dr Ramzah Dambul berkata semua pihak sedia maklum tentang keunikan di negeri ini namun resepi di sebalik perpaduan itu masih belum dirungkai sehingga mempunyai kekangan untuk dipraktikkan ke tempat lain.
“Sudah sampai masanya UMS sebagai satu-satunya universiti utama di Sabah merungkai isu ini secara penyelidikan dan akademik kerana perkara ini sangat penting dan perlu diarusperdanakan.
“UMS akan menggagaskan usaha mengumpul penyelidik daripada pelbagai disiplin, membuat kajian yang mungkin bersifat fundamental untuk mencari rahsia atau kunci dan bagaimana kunci itu dapat digunakan untuk membuka pintu-pintu keharmonian dan perpaduan di tempat lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Ramzah penyelidikan itu akan dibuat pada tahun depan dengan menggunakan antara RM100,000 hingga RM150,000 geran penyelidikan dalaman UMS, yang telah diperuntukkan bagi tahun 2020 seperti yang diumumkan Naib Canselor, Prof Datuk ChM Dr Taufiq Yap Yun Hin sebelum ini.
“Oleh kerana kita mempunyai lebih 800 penyelidik dengan pelbagai kepakaran, saya tidak fikir kajian ini hanya terbatas dalam bidang sains sosial dan bidang kemanusiaan sahaja, mungkin juga ia akan merentas kepada bidang-bidang lain seperti pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
“Justeru, kita akan buka penyelidikan bagi merungkai resepi keharmonian di Sabah ini kepada semua penyelidik UMS dan kita akan pilih berdasarkan penilaian terhadap kertas cadangan penyelidikan yang terbaik,” katanya.
-- BERNAMA
|