Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembinaan Jalan Kalabakan-Serudong 'kunci' limpahan faedah kepada Sabah


Tarikh kemaskini: 02/11/2019




Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 2 Nov -- Kunci untuk pelbagai limpahan faedah masuk ke Sabah adalah memastikan wujudnya sambungan jalan raya dengan negara jiran, Indonesia yang pasaran ekonominya adalah lima kali ganda lebih besar daripada Sabah.

Di sempadan Kalimantan Utara, Indonesia dan Daerah Kalabakan, Sabah, iaitu 106 kilometer dari Bandar Tawau itu, terdapat 40 kilometer bekas laluan pembalakan yang kini menjadi perhatian kerajaan untuk dibangunkan.

Laluan lasak yang melalui ladang kelapa sawit, hutan dan sungai, jalan berlubang itu menghubungkan Kampung Serudong, Kalabakan di pantai timur Sabah ke Bandar Simanggaris di Indonesia.

Seorang penjawat awam ditemui Bernama, Kassim Aslan menyenaraikan sektor pelancongan termasuk pelancongan kesihatan serta pendidikan di Sabah akan menerima impak positif dengan pembinaan Jalan Kalabakan-Serudong sejauh 40 kilometer seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020 baru-baru ini.

Menurut Kassim, pembukaan jalan itu sudah pasti merancakkan ekonomi Kalabakan sebagai daerah baharu di Sabah selain Tawau serta keseluruhan negeri amnya.

"Ekonomi daerah pantai timur Sabah melalui tempoh merudum selepas pihak berkuasa mengenakan pelbagai peraturan tegas berkaitan 'sea trade' (perdagangan di laut) ekoran faktor keselamatan.

"Jadi kini dengan peluang ada (bina jalan), kita (Sabah) perlu berdaya saing dan cekap mengambil peluang yang ada, Sabah perlu memanfaatkan penduduk Kalimantan yang ramai iaitu lebih 15 juta orang dengan kuasa beli yang kukuh, misalnya kita perlu perkasa sektor perusahaan kecil dan sederhana dari sekarang," katanya.

Menurutnya, pembinaan jalan itu turut memberi manfaat kepada rakan sekutu Borneo iaitu Sarawak dan Brunei.

Di samping itu, Presiden Kelab 4x4 Ekspedisi Ekstrim Tawau, Jeffry Onn Hamzah menyifatkan pembinaan Jalan Kalabakan-Serudong dapat memajukan Sabah secara berperingkat.

"Pada tahun 2012 sebanyak 20 kenderaan pacuan empat roda ekstrem daripada kelab kami ada melalui jalan pembalakan (Kalabakan-Serudong) sewaktu melakukan ekspedisi jelajah Borneo sejauh 8,000 kilometer...mencabar tetapi bermanfaat,” katanya.

Menurut Jeffry, jalan sempadan Simanggaris di Indonesia sudah berturap menunjukkan petanda bahawa Indonesia sudah lama bersedia ke arah jalinan kerjasama.

"Kami juga sebagai pencinta sukan ekstrem melihat pembinaan jalan ini membuka lagi ruang untuk kerjasama dengan Indonesia dalam sukan ini di Sabah khususnya.

"Ketika ini pun kami bekerjasama dengan Indonesia Off Road Federation (IOF) dan bila ada jalan ini, banyak program kita boleh buat dan jemput mereka, ini secara langsung membawa limpahan positif terhadap ekonomi dan pelancongan Sabah," katanya.

Jeffry yang juga Pemangku Pengarah University Open Malaysia Tawau berkata, kerjasama sektor pendidikan bersama Malaysia juga boleh dilaksanakan kerana terdapat universiti di Kalimantan khasnya di Balik Papan dan Samarinda.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata berkata peruntukan RM600 juta yang disediakan kepada Kalabakan untuk pembinaan Jalan Kalabakan-Serudong serta pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Serudong, meletakkan Sabah di landasan tepat untuk melakukan persiapan bagi mendapat manfaat dengan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

“Peruntukan yang besar itu semenangnya diperlukan sebagai persiapan awal negeri menerima kesan pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan kelak," katanya.

Katanya, peruntukan itu penting kepada operasi pasukan keselamatan di kawasan persempadanan termasuk membabitkan penempatan angkatan tentera.

Menurutnya, belanjawan diumum itu pastinya menyuntik ke arah pembangunan pekan baharu Kalabakan, menyediakan peluang perniagaaan dan pekerjaan kepada warga Tawau dan limpahan ekonomi untuk Sabah.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel