Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua warga emas sertai Kejohanan Badminton World Masters Kuching


Tarikh kemaskini: 02/11/2019




KUCHING, 2 Nov -- Dua lelaki berusia 89 tahun, membuktikan usia bukan penghalang dengan menyertai kira-kira 2,000 pemain badminton lain dalam Kejohanan Badminton World Masters ke-26, di sini yang bermula semalam hingga Ahad ini.

Liao Guo Feng dari Taiwan berkata semangat dan minatnya dalam dunia badminton menjadi   pendorongnya untuk terus berkecimpung biarpun usianya sudah lanjut.

Bapa kepada sepasang anak lelaki dan perempuan serta mempunyai tiga orang cucu ini mula menyertai pelbagai kejohanan sejak usianya 44 tahun lagi.

"Saya pun tidak dapat kira berapa kejohanan yang saya telah masuk, ini kali kedua saya bertanding di Malaysia, pertama kali di Kuala Lumpur, tapi saya sendiri tidak ingat bila," katanya dalam bahasa Mandarin ketika ditemui Bernama dan RTM pada majlis makan malam kejohanan itu di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Seorang lagi adalah Liu Jun De dari China. Beliau bagaimanapun tidak hadir pada majlis makan malam berkenaan.

Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus menyokong bidaan Sarawak untuk menjadi tuan rumah lebih banyak kejohanan badminton antarabangsa dalam masa terdekat, kerana terdapat banyak venue dan kemudahan sukan di negeri ini.

“Venue serba guna dibina khas untuk acara ini dengan mengubah Lawn Bowls Arena kepada 20 gelanggang badminton dan lokasi serba guna ini sesuai untuk menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau juga berharap dengan menjadi tuan rumah kepada kejohanan badminton antarabangsa, akan membantu meningkatkan minat dan pembangunan sukan badminton di Sarawak dalam kalangan pemain muda.

Kejohanan empat hari yang diadakan di Sarawak Multipurpose Indoor Arena, di sini akan turut menyaksikan kemunculan bekas pemain kelas dunia seperti Taufik Hidayat, Tan Boon Keong, Koo Kean Keat dan Bobby Ertanto sebagai pemain jemputan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel