Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PKS diingat tingkatkan inovasi, daya kreatif untuk hasil produk berkualiti


Tarikh kemaskini: 02/11/2019





JOHOR BAHRU, 2 Nov -- Pengeluar produk khususnya Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) perlu meningkatkan kemampuan inovasi dan daya kreatif supaya dapat mengeluarkan produk berkualiti dan bersih seperti kehendak pengguna. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata para pengeluar juga perlu meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing mereka supaya hasil produk boleh dipasarkan pada harga kompetetif. 

"Selain itu, saya ingin menasihatkan semua pengeluar produk yang relevan agar mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya barangan tuan puan mudah dijual bukan hanya di dalam negara malah mampu dieksport. 

"Bagi pengedar pula, tuan puan perlu mempunyai sistem pengedaran yang efisyen supaya kos penghantaran dan pergudangan dapat dikawal pada satu tahap yang berpatutan, satu daripada elemen penting supaya harga runcit barangan terus kompetitif," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Kebangsaan di Plaza Angsana Johor Bahru di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan agar rakyat di negara ini supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan bagi merancakkan ekonomi domestik negara.

"Langkah kerajaan untuk memperkasakan perbelanjaan dalam negara menerusi inisiatif seperti Kempen Beli Barangan Malaysia ini adalah bertepatan dan sangat signifikan bagi mengimbangi cabaran serta tekanan globalisasi ekonomi semasa. 

"Sekiranya semua rakyat Malaysia menyokong inisiatif ini dengan mempertingkatkan pembelian barangan tempatan, sudah tentunya ia akan merancakkan ekonomi domestik di negara ini, mempertingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekaligus mengelakkan pengaliran wang keluar dari negara ini," katanya.

Tambah Dr Wan Azizah, penganjuran karnival berkenaan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan Perdana Menteri pada awal bulan lepas.

"Wawasan ini beriltizam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan," katanya lagi.

KBBM 2019 yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, berlangsung selama lima hari bermula Rabu, yang disertai 180 pempamer terdiri daripada pengilang, peruncit, francais dan PKS serta lebih 300 usahawan tempatan.

Yang turut hadir Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel