Amalan gotong-royong perlu diangkat semula sebagai sebahagian budaya masyarakat
Tarikh kemaskini: 02/11/2019

SANDAKAN, 2 Nov -- Amalan gotong-royong perlu diangkat semula sebagai sebahagian daripada budaya atau adat resam masyarakat, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung hari ini.
Katanya, amalan gotong-royong kian hilang fungsinya, khasnya dalam kalangan masyarakat bandar, dan khuatir sikap masyarakat yang semakin individualistik akan membantutkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi.
"Kita tidak mahu rakyat menjadi individualistik, materialistik dan hilang nilai-nilai kejiranan, penyayang dan prihatin terhadap persekitaran kediaman masing-masing.
"Oleh itu, pentingnya rakyat membudayakan program bergotong-royong bagi meningkatkan kesedaran menjaga kesihatan diri, keluarga dan persekitaran, serta mengeratkan lagi silaturahim dan kerjasama dalam kalangan penduduk setempat," katanya pada Program Komunitiku Sihat di Kampung Sim-Sim di sini.
Poon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, berkata pihaknya sedang bekerja untuk membangunkan sektor pelancongan di Sandakan dan mahu melancarkan projek besar yang berkesan untuk melonjakkan lagi pembangunan Sandakan.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Wong Foo Tin berkata pihaknya sedang merancang untuk mewujudkan bahagian pembangunan komuniti dalam MPS bagi memberi pendidikan dan pendedahan kepada masyarakat di Sandakan mengenai kepentingan menjaga kebersihan, kesihatan, perpaduan dan hidup dalam bermasyarakat.
-- BERNAMA
|