Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jentera PH diingatkan supaya tidak leka,  ambil mudah PRK Tg Piai


Tarikh kemaskini: 02/11/2019





PONTIAN, 2 Nov -- Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diingatkan supaya tidak leka dan bersikap ambil mudah dalam usaha untuk memenangkan calon PH.

Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata jentera PH termasuk jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berusaha sedaya upaya untuk memenangkan calon PH iaitu Karmaine Sardini.

“Kita memang mahu semua bersiap siaga sebab kita tahu bahawa tiap-tiap pilihan raya itu adalah satu ujian.

“Jangan ambil sambil lewa. Apapun, kita mestilah sedaya upaya untuk memenangkan calon kita, calon PH Haji Karmaine,” katanya kepada pemberita di Pejabat PKR Cabang Tanjung Piai, di sini, petang ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau juga berharap agar pengundi di parlimen Tanjung Piai akan terus mengundi PH bagi menyambung legasi ahli parlimen yang terdahulu daripada PH.

“Kita merayu agar pengundi-pengundi kita mengundi PH Haji Karmaine sebab dulu wakil rakyatnya daripada PH. Kita pun cari pengganti supaya kita dapat teruskan agenda kita ...sebab saya katakan dulu peralihan adalah lebih baik dari dahulu,” kata Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan jentera PH serta keyakinan Barisan Nasional untuk memenangi PRK dengan meletakkan bekas ahli parlimen Tanjung Piai dua penggal Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Terdahulu, Dr Wan Azizah merasmikan pejabat cabang PKR Tanjung Piai. Turut hadir Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Selain Wee, Karmaine juga ditentang Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah [Berjasa]) dan dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, seorang ahli perniagaan yang mewakili Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM), dalam pertandingan enam penjuru pada PRK Tanjung Piai.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik  yang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mewakili PH memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan16 Nov sebagai hari mengundi manakala 12 Nov  bagi pengundian awal. PRK itu diadakan selepas Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.      

-- BERNAMA

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel