Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah beri kelulusan kepada MKN kelonggaran kapal hantar pendatang haram pulang


Tarikh kemaskini: 02/11/2019





KOTA KINABALU, 2 Nov -- Kerajaan Negeri Sabah telah memberi kelulusan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kelonggaran penggunaan jenis kapal bagi menghantar pulang kesemua pendatang haram yang kini ditempatkan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di seluruh negeri ini, ke negara asal mereka.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada MKN supaya jenis kapal penghantar pendatang haram terbabit ke negara asal mereka dilonggarkan, asalkan ia selamat untuk digunakan.

“Antara penyebab (PTS di Sabah sesak) adalah masalah bot kapal yang diperlukan untuk menghantar mereka (pendatang haram) balik ke negara asal mereka.

Kita mahu hantar mereka balik, itu pasti. Cuma bila dihantar itu bergantung kepada keadaan keselamatan dan kita sudah memberi kelulusan kepada MKN supaya jenis bot (menghantar pendatang haram) dilonggarkan asalkan ia selamat digunakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas isu keempat-empat PTS di Sabah yang ketika ini sesak dengan 7,200 tahanan pendatang haram dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Filipina dan China.

Empat PTS itu masing-masing terletak di Papar, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sabah berkata kerajaan negeri sememangnya berhasrat menghantar kesemua pendatang haram itu pulang ke negara asal mereka, namun, faktor keselamatan di laut masih dititikberatkan berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.

”Kita perlu juga menjaga dan bertimbang rasa. Bukan hantar begitu sahaja kerana ia melibatkan nyawa manusia meskipun mereka bukan rakyat kita,” katanya.

Semalam, Pengarah MKN Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesesakan di PTS itu berlaku disebabkan kapal sepatutnya membawa pendatang haram terbabit bagi tujuan pengusiran kini dalam proses penyelenggaraan.

Proses penyelenggaraan itu akan selesai dan dijangka pada 10 Nov ini kapal berkenaan beroperasi semula dengan membuat pelayaran ke perairan Sabah.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel