Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah unjur pertumbuhan KDNK 5.1 peratus tahun depan


Tarikh kemaskini: 02/11/2019





KOTA KINABALU, 2 Nov -- Kerajaan Sabah menjangkakan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu akan meningkat kepada 5.1 peratus pada tahun depan sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beberapa pendekatan telah dilakukan dalam memperkasa industri hiliran sehingga ia menjadi antara faktor penyumbang kepada unjuran KDNK tersebut selain industri minyak dan gas.

Industri pelancongan Sabah yang sememangnya menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri dijangka terus memacu pertumbuhan KDNK Sabah pada tahun depan.

“Justeru, kerajaan Sabah akan mempelbagaikan lagi produk pelancongan dan tidak hanya tertumpu kepada pusat peranginan sahaja sebagai usaha menjadikan sektor ini lebih mampan.

“Ini termasuk memastikan produk pelancongan tidak hanya untuk kunjungan pelancong tetapi juga boleh menarik kehadiran saintis dan penyelidik memandangkan Sabah memiliki pusat hutan hujan seperti di Imbak Canyon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pekerjaan EIS Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah juga optimis bahawa sektor pertanian negeri berupaya menjadi antara penyumbang kepada unjuran pertumbuhan KDNK negeri pada tahun akan datang selepas Pelan Pembangunan Pertanian Sabah dilancarkan minggu depan.

Mengenai karnival pekerjaan, program sehari itu diadakan sebagai kesinambungan daripada usaha PERKESO dalam membantu pencarumnya di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang kehilangan pekerjaan dan golongan pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan.

Sabah adalah lokasi keempat siri jelajah karnival pekerjaan PERKESO selepas Kuala Lumpur, Alor Star dan Kangar. Ia menawarkan 3,000 kekosongan jawatan membabitkan 24 majikan di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Mohammed Azman ketika berucap berkata, seramai 2,308 individu yang kehilangan pekerjaan telah membuat permohonan faedah melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan 1,857 daripadanya mendapat kelulusan untuk bantuan kewangan sebanyak RM3.08 juta.

“Melalui SIP, PERKESO bukan sahaja membantu para pekerja yang kehilangan pekerjaan mendapat kerja baharu tetapi juga menyediakan penggantian pendapatan untuk membantu mereka dalam kelangsungan hidup serta saraan keluarga,” katanya.

— BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel