Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Selesaikan kemelut kewangan MUSA antara fokus presiden baharu


Tarikh kemaskini: 02/11/2019





MELAKA, 2 Nov -- Isu tunggakan gaji pemain tidak berulang pada musim 2020, itu antara fokus utama yang akan diberi perhatian oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li yang baharu dilantik berkuatkuasa semalam.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan awal bersama Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan supaya menyediakan kertas cadangan untuk perbelanjaan pasukan Melaka United dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan mengikut kesesuaian peruntukan.

Katanya, kaedah itu turut digunapakai pada semua peringkat lain termasuk Piala Presiden dan sebagainya supaya kemelut kewangan tidak berlaku lagi dan memastikan kebajikan semua pemain dapat dijaga.

“Kita ada pihak penaja daripada syarikat dan organisasi yang bersedia untuk memberi sumbangan kepada perkembangan bola sepak negeri ini, tetapi sudah tentu mereka mahu dana yang disalurkan ini diurus dengan baik dan ketelusan adalah amat penting dalam sistem pentadbiran dan pengurusan ini.

“Justeru, kita akan pastikan isu hutang dan tunggakan gaji pemain tidak berulang lagi di masa akan datang kerana ia boleh menjejas prestasi pasukan, selain ia akan menyuntik moral pemain untuk memberi komitmen tinggi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Yeo berkata pihaknya percaya semua hutang dan tunggakan gaji para pemain Melaka United itu akan dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum 30 Nov.

Katanya, berhubung pelesenan kelab bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2020, pihak persatuan telah memenuhi serta melengkapkan keperluan yang disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan keputusan itu akan diketahui pada Isnin

“Jika Melaka United tidak berdepan dengan tindakan tersingkir daripada saingan Liga Super itu sudah  memadai dan kita menaruh kepercayan sepenuhnya kepada ketua jurulatih untuk membentuk skuad terbaik walaupun bajet untuk tahun depan tidak tinggi seperti pasukan lain selain optimis pasukan ini mampu memberikan saingan untuk kekal dalam saingan Liga Super dan layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan penyokong-penyokong bola sepak negeri ini dalam masa terdekat untuk mendapatkan idea dan pandangan mereka dalam menambah baik mutu pengurusan dan pentadbiran persatuan serta pasukan. 

“Berdasarkan perlembagaan persatuan sebagai presiden saya juga akan melantik seorang wakil daripada kalangan mereka untuk membarisi exco MUSA bagi mendapatkan pandangan-pandangan sebelum menyediakan pelan-pelan pembangunan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya itu, Yeo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (Melcat) berkata beliau tidak menyangka namanya dicadang sebagai presiden persatuan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari untuk menggantikan beliau bagi menerajui tampuk kepimpinan MUSA.

Katanya, pada awalnya beliau hanya meminta Adly supaya diberi kuasa eksekutif untuk mengendalikan MUSA berikutan terpanggil untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi persatuan terbabit bagi pihak ketua menteri seterusnya membolehkan beliau (Adly) memberi perhatian penuh terhadap urusan pembangunan dan pentadbiran kerajaan negeri.

“Terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan juga ketua menteri yang merupakan Penaung MUSA atas kepercayaan diberi bagi mengendali persatuan ini sebagai presiden,” katanya.

Yeo memegang jawatan itu berkuatkuasa 1 Nov, dilantik selaras dengan statut persatuan Artikel 40 iaitu yang menyatakan siapa saja yang dipilih sebagai Ketua Menteri secara automatik adalah Presiden MUSA dan boleh melantik sesiapa saja dianggap sesuai sebagai presiden.

--BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel