Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APMM tahan dua lelaki Pala'u, rampas 260 tong berisi petrol


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





SEMPORNA, 3 Nov -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Semporna menahan dua lelaki Pala'u di perairan Semporna selepas cuba menyeludup 260 tong berisi minyak petrol menggunakan bot jongkong ke Sitangkai, Filipina, semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata dua lelaki berusia 35 dan 31 tahun itu ditahan pada 1 pagi di perairan Pulau Boheyan dekat sini.

"Anggota cuba menahan bot itu selepas didapati bergerak dalam keadaan mencurigakan, namun juragan bertindak memecut laju bot dan dikejar kira-kira sejam sebelum ditahan.

"Ketika ditahan, kedua-dua suspek berada bersama 260 tong minyak petrol (6,500 liter) dipercayai untuk dijual di pasaran Filipina," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Maritim Semporna di sini, hari ini.

Menurut Norrimi, kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai menerima upah daripada pihak tertentu namun perkara itu masih dalam siasatan.

"Suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan dipercayai suspek yang tinggal di pondohan (perumahan atas air) menjadikan tempat itu sebagai lokasi persinggahan barangan sebelum diseludup keluar," katanya.

Menurutnya rampasan terbesar dilakukan Zon Maritim Semporna setakat November tahun ini dengan nilai RM68,000.

Beliau berkata Maritim Semporna akan meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan pelakuan jenayah di daerah ini.

Norrimi meminta orang ramai supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 080-782619 atau MERS 999.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel