Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Istana Dayak' bakal dibina sebagai Muzium Warisan di Kuching


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





KUCHING, 3 Nov -- Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) akan mempunyai bangunan sendiri yang dinamakan sebagai ‘Pangau Dayak’ atau ‘Istana Dayak’, di kawasan Bandaraya Kuching tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi DCF Datuk Amar Douglas Uggah berkata kerajaan negeri Sarawak telah menyediakan sebidang tanah di Jalan Ong Tiang Swee untuk pembinaan bangunan sembilan tingkat itu.

“Ketika ini, projek itu  berada di peringkat meratakan tapak,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan simposium Iban Ngepan yang berlangsung selama dua hari, di sini malam tadi.

Uggah berkata apabila siap kelak, bangunan itu menyediakan ruang yang luas untuk mempamerkan busana tradisional kaum Bidayuh, Iban dan Orang Ulu.

"Kami juga akan menggunakannya untuk penganjuran kursus, seminar dan latihan. Ini merupakan cara bagi DCF untuk terus mara dalam usahanya memelihara, memanfaatkan dan menambah nilai kepada busana tradisional. Ia akan menjadi sumber kebanggaan dan penghormatan bagi kaum Dayak,” katanya.

Dalam perkembangan lain,  Uggah berkata komuniti Dayak perlu meneroka dan memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam perniagaan kraftangan.

"Kerajaan negeri sedang meneliti pelbagai aliran pendapatan dari kawasan luar bandar. Kraftangan adalah antara yang paling berpotensi," katanya.

Sebagai rekod, beliau berkata pada tahun lepas, industri kraftangan Sarawak merekodkan jualan berjumlah RM30.5 juta, manakala bagi tahun ini setakat bulan Mei, jualan berjumlah RM13.6 juta telah direkodkan.

"Ini menunjukkan industri ini menyediakan peluang yang amat baik untuk menjana pendapatan. Kita perlu merangka strategi untuk menambaik baik peningkatan ini, termasuk rantaian bekalan. Kita perlu meninjau teknologi baharu untuk menghasilkan bukan sahaja kuantiti tetapi juga kualiti.

"Antara kraftangan yang sangat popular adalah ‘Pua Kumbu’ atau kain tenunan Iban dan perhiasan manik," katanya, dan berharap pada simposium akan datang, penganjur akan memasukkan sesi bersama pihak industri.

Pada majlis itu, Uggah mengumumkan geran awal RM50,000 untuk penganjuran simporium itu tahun depan, dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Mangil yang turut hadir, bersetuju untuk menjadi pengerusi penganjur.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel