dhFm8572b30 Musim tengkujuh: Pulau peranginan Terengganu hentikan kedatangan pelancong
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Musim tengkujuh: Pulau peranginan Terengganu hentikan kedatangan pelancong


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





Laporan Eksklusif Oleh: Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli

JERTIH, 3 Nov -- Kebanyakan pusat peranginan pulau-pulau terkenal di Terengganu  menghentikan tempahan pakej pelancongan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Hanya beberapa buah sahaja yang dilaporkan akan beroperasi sepanjang tahun terutama bagi memenuhi permintaan pelancong asing yang berminat dengan sukan luncur ombak.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, semua pusat peranginan di Pulau Perhentian telah ditutup bermula Okt kecuali empat buah iaitu Sharila Perhentian Resort, Coral View Resort, D’Rock Garden Resort dan Aina Ohana yang akan beroperasi sepanjang tahun.

Manakala di Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Kapas, Marang, operasi kebanyakan pusat peranginan dihentikan sementara sejak  Okt lepas, manakala operasi  di Pulau Tenggol, Dungun dihentkan akhir bulan ini.

Rata-rata pengusaha yang ditemui Bernama berkata penutupan tersebut dilakukan bagi menyahut seruan kerajaan negeri yang bimbang dengan keselamatan pelancong terutama ketindaktentuan keadaan cuaca dan laut bergelora.

Tinjauan bersama pasukan Jabatan Taman Laut Terengganu ke Pulau Perhentian baru-baru ini juga mendapati kebanyakan pengusaha giat melakukan persediaan dan memindahkan pelbagai peralatan terutama bot ke lokasi selamat.

Kini, kebanyakan pulau hanya dihuni pekerja dan pengusaha bagi memantau keadaan sekeliling sepanjang musim tengkujuh dan ini  memberi laluan untuk kerja-kerja membaik pulih kerosakan pada bilik-bilik penginapan di pulau itu.

Pengusaha salah sebuah pusat peranginan di Pulau Perhentian, Masron Mustafa, 40, berkata penutupan itu pastinya mengurangkan pendapatan ramai pekerjanya tetapi ia perlu dilakukan bagi mengelak perkara tidak diingini  berlaku.

Katanya, ia juga telah menjadi rutin tahunan buat mereka setiap tahun untuk menutup tempat penginapan sementara waktu bermula Okt sehingga Feb dan dibuka sepenuhnya pada Mac setiap tahun.

“Saya telah menutup pusat peranginan sejak pertengahan Oktober. Difahamkan masih ada pengusaha penginapan lain yang masih beroperasi dan bakal tutup pada awal November, manakala ada juga yang dikatakan beroperasi sampai hujung tahun ini.

“Pada musim tengkujuh keadaan ombak yang tidak menentu boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada pelancong yang berkunjung ke pulau dan aktiviti yang dilakukan juga amat terhad berbanding hari biasa,” katanya ketika dihubungi.

Masron berkata pada musim itu juga perkhidmatan bot tidak akan beroperasi seperti hari biasa dan ia  menyukarkan pelancong untuk masuk ke pulau.

Ketika ditanya mengenai risiko yang biasanya berlaku di Pulau Perhentian, beliau berkata biasanya keadaan terkawal ekoran pulau berkenaan terlindung dari berdepan angin kuat berikutan adanya bukit yang menghalang angin daripada menerjah kawasan pusat peranginan.

Malah katanya, kerosakan yang dialami tidaklah seteruk kawasan peranginan lain seperti di Pulau Kapas.

Perkara itu diakui pengusaha pusat peranginan di Pulau Kapas Hawa Abdul Rahman kerana sejak beberapa tahun lalu beliau mengalami kerugian akibat musim tengkujuh dan terpaksa mengeluarkan kos pembaikan lebih daripada RM1 juta.

Katanya, hentaman ombak dan angin kuat bukan sahaja telah menerbangkan bumbung malah merosakkan peralatan lain.     

“Ombak Kapas Resort akan tetap beroperasi sehingga musim tengkujuh tetapi tidak membukanya pada kemuncak demi keselamatan. Masih ada beberapa pelancong Eropah yang tinggal di situ semata-mata untuk bermain ombak,” katanya.  

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel