Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemilihan PKR cabang Tanjung Manis ditangguh berikutan notis injunksi


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





SARIKEI, 3 Nov -- Pemilihan PKR Cabang Tanjung Manis yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini ditangguhkan selepas satu notis injunksi daripada mahkamah disampaikan kepada kepada wakil Majlis Pimpinan Pusat (MPP) jam 10.12 pagi hari ini.

Proses pengundian yang bermula jam 10.00 pagi hanya sempat berlangsung kira-kira 12 minit dan terpaksa dihentikan apabila peguam dari firma guaman Clement Wong and Co yang berpejabat di Kuching menyerahkan notis injunksi kepada Datuk Ir Dr Nor Irwan Ahmat Nor.

Notis injunksi tersebut daripada Francis Bujang Jelani, salah seorang ahli yang bertanding untuk jawatan ahli jawatankuasa cabang tersebut.

Difahamkan notis injunksi itu adalah bagi menangguhkan pemilihan supaya dapat memberikan masa untuk menjawab bantahan ke atas 13 individu, termasuk Francis sendiri, yang menyebabkan pencalonan mereka dibatalkan.

"Kami menerima injunksi ini, saya sebagai wakil MPP dan kami sebagai parti reformis dan berpegang kepada peraturan perundangan, kita akan meneliti semua ini dan bawa perkara ini kepada pimpinan parti. Kita menghormati sebarang bantahan yang dibuat oleh ahli-ahli parti yang bertanding,"kata Nor Irwan semasa mengumumkan penangguhan tersebut di hadapan kira-kira 1,000 ahli parti dan penyokong.

Nor Irwan kemudiannya menyeru agar ahli-ahli parti yang terlibat supaya menerima penangguhan tersebut kerana PKR adalah sebuah parti yang menghormati undang-undang.

Sebelum ini pembatalan pencalonan Timbalan Bendahari PKR Sarawak sejak April 2019 Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi untuk jawatan ketua cabang, bersama 12 ahli lain yang bertanding untuk pelbagai jawatan lain, dimaklumkan melalui surat yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 1 November dan telah diedarkan menerusi aplikasi Whatsapp pada Sabtu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Baru Bian dilaporkan mengesahkan bahawa surat tersebut adalah sahih.

Mereka yang lain dibatalkan pencalonan ialah Mengkang Rangkong untuk jawatan Timbalan Ketua Cabang; Sulah Andien, Francis Bujang Jelani, Barnabas Untai Lucas, Emparie Dullah, Swak Jalik, Richard Panting dan Rohayah Tambi (AJK Cabang); Allif Omar Yunus (Ketua AMK Cabang); Mohd Wahab Bujang (Calon AJK AMK Cabang); Rohayah Tambi (Ketua Wanita Cabang); dan Erni Salmi (Calon AJK Wanita Cabang).

"Calon Jawatankuasa Cabang, Jawatankuasa AMK Cabang dan Jawatankuasa Wanita Cabang yang mempunyai dua keanggotaan parti adalah dibatalkan," kata Saifuddin dalam surat tersebut.

Francis Bujang Jelani mendakwa, beliau secara peribadi tidak menerima surat pembatalan pencalonan itu tetapi hanya mengetahui perkara tersebut daripada seorang rakan.

Menurut beliau, makluman mengenai pembatalan pencalon yang dibuat pada saat-saat akhir itu adalah sangat tidak adil dan secara tidak rasmi beliau diberitahu pembatalan tersebut ada kaitan dengan perebutan jawatan ketua cabang namun beliau tidak tahu apa-apa mengenai perebutan itu dan hanya berminat untuk menjadi ahli jawatankuasa cabang.

Oleh yang demikian beliau memohon injunksi mahkamah supaya dapat mengambil bahagian di dalam pemilihan cabang yang dijalankan secara demokrasi. 

Injunksi itu adalah untuk menahan defenden terdiri daripada wakil MPP, Ketua Pengawas Pemilihan ataupun kakitangan, agen atau wakil mereka daripada enggan menerima, menghalang atau menafikan hak 13 individu tersebut untuk menawarkan diri sebagai calon atau menghalang mana-mana ahli daripada mengundi pada pemilihan PKR cabang Tanjung Manis itu.

Sebelum injunksi itu disampaikan didapati nama kesemua individu terbabit tiada dalam kertas undi pada pemilihan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel