Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Calon PH mahu dapatkan kepercayaan teruskan agenda yang dirancang


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





PONTIAN, 3 Nov -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini menaruh harapan yang tinggi untuk mendapat kepercayaan penduduk dan pengundi di kawasan Parlimen itu bagi meneruskan agenda yang telah dilaksanakan.

Sehubungan itu, Karmaine, 66, berharap rakyat tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan tidak benar terhadap PH sebaliknya terus memberi peluang kepada beliau dan PH untuk berbakti kepada rakyat.

Katanya beliau sangat maklum bahawa terdapat dakyah yang menghasut pemikiran rakyat bahawa kononnya PH hanya layak menjadi ‘kerajaan sepenggal’ setelah didakwa gagal menunaikan janji manifesto mereka. 

“Kami baru setahun setengah, kena beri peluang pada kami untuk meneruskan agenda yang ditetapkan. Insya-Allah dalam tempoh tiga hingga empat tahun, kami akan tunaikan semua manifesto.

“...kerana di Johor sendiri, manifesto semua sudah ditunaikan. Kami dah bagi Kad Sihat, air percuma dan sebagainya,” katanya selepas bertemu orang ramai di sekitar Pekan Nenas di sini hari ini.

Karmaine yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berkata beliau juga akan menggunakan peluang kempen itu untuk menjelaskan bahawa tiada istilah wakil rakyat hanya perlu berkhidmat untuk satu kaum sahaja sebaliknya perlu mewakili semua pihak demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.

“Sebenarnya di Malaysia ini, tidak ada konsep itu (wakil rakyat untuk satu kaum). Konsep kita (PH) adalah untuk semua.

“Kalau untuk kaum tertentu, itu bukan wakil rakyat namanya. Itu wakil kelompok parti tertentu,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai manakala 12 Nov bagi pengundian awal.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock, pengasas pusat tuisyen, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, seorang ahli perniagaan.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel