Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tujuh tahun hidup tanpa bekalan elektrik


Tarikh kemaskini: 03/11/2019




PASIR MAS, 3 Nov  -- Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah nasib pasangan suami isteri Mahasan Salleh, 44, dan Sulaina Ismail, 38, yang terpaksa mengharungi kehidupan hanya bercahayakan lilin dan pelita selama hampir tujuh tahun tanpa bekalan elektrik. 

Lebih menyedihkan apabila rumah yang gelap dan berbumbung bocor itu juga tempat mereka membesarkan lima anak mereka yang berusia antara enam hingga 13 tahun. 

Sulaina berkata, disebabkan kedaifan hidup juga, mereka perlu berulang alik sejauh 200 meter bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian yang hanya diperoleh dari telaga tanah tidak jauh dari kawasan rumahnya.

“Bekalan elektrik rumah kami telah dipotong sejak tujuh tahun lepas akibat tunggakan bil elektrik sebanyak RM2,000 yang tidak mampu dilunaskan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Karang di sini, hari ini.

Katanya, akibat buntu dengan keadaan hidup yang menakutkan apabila menjelang malam, sejak beberapa bulan lepas Sulaina mengambil inisiatif memasang lampu menggunakan bateri motosikal namun masih dalam cahaya yang malap.

Sulaina berkata, kehidupan dia sekeluarga sangat susah memandangkan dia mengambil upah membuat kerja kampung dengan mendapat upah RM30 sebulan dan pendapatan suami hanya RM700 sebagai pengutip kelapa sawit di Gua Musang.

"Kehidupan kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apa yang ada di dapur itulah yang kami makan dan ada ketika kesempitan, anak hanya diberi nasi putih berlaukkan ulam yang dipetik sekitar rumah.

“Malah, dugaan yang lagi berat apabila anak kedua saya Muhammad Syamsul,12, disahkan menghidap sakit jantung sejak enam bulan lepas yang memerlukan dia berulang-alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya. 

Sulaina juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan yang digunakan untuk keperluan persekolahan anak. 

Terdahulu, Penggerak Thirdforce Rantau Panjang Tuan Zaimah Raja Omar mengunjungi keluarga ini dan menyampaikan sumbangan keperluan asas termasuk beras, susu dan gula.

“Pihak kami berharap sedikit sebanyak dengan sumbangan yang diberikan dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga ini dan kita akan cuba membantu mendapatkan sumbangan orang ramai jika ada,” katanya. 

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini bagi meringankan beban boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam bernombor  03-027-02-063690-5 atas nama Sulaina Ismail. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel