Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian Pertahanan tunggu nasihat Peguam Negara berhubung pembelian enam helikopter kerajaan terdahulu


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





KOTA BHARU, 3 Nov  -- Kementerian Pertahanan akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Peguam Negara sebelum mengambil langkah-langkah seterusnya bersabit pembelian enam helikopter yang dibeli pentadbiran lepas bernilai RM300 juta.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata kementerian akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan Peguam Negara bersabit pembelian helikopter berkenaan yang masih belum diterima kerajaan sehingga kini.

"Kita akan buat keputusan paling singkat untuk mendengar nasihat AG (Peguam Negara) kenapa helikopter ini tidak sampai sehingga hari ini.

"Kita akan tunggu pandangan AG… perlu ambil tindakan apa-apa (yang akan dibuat nanti) berdasarkan pandangan AG dan kementerian akan buat keputusan berdasarkan kepada pandangan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Negeri Kelantan dan Terengganu di sini, hari ini.

Beberapa hari lepas Mohamad Sabu dilaporkan berkata kerajaan mungkin perlu ke mahkamah berhubung enam helikopter yang dibeli pentadbiran lepas, bernilai lebih RM300 juta, yang belum dihantar.

Beliau berkata sekiranya helikopter berkenaan dihantar dan tentera enggan menggunakannya, perbincangan akan diadakan bersama kementerian lain mengenai penggunaannya.

Helikopter itu sepatutnya dihantar dalam dua fasa iaitu dua buah dihantar pada Julai 2017 dan empat lagi dijadual dihantar pada Disember 2018.

Mengulas isu itu lagi Mohamad berkata kerajaan terdahulu telah membayar RM112 juta iaitu 35 peratus daripada harga keseluruhan namun helikopter berkenaan yang sepatutnya diterima pada November 2017 masih belum sampai.

"Bukan kita tidak mahu menerima helikopter berkenaan tetapi sebenarnya helikopter tersebut masih belum diterima kita sehingga hari ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2019 telah mencatat satu sejarah baharu apabila bakal mencecah kutipan sehingga RM10 juta dalam sedikit masa lagi.

Beliau berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah kutipan tabung itu mencecah sebanyak itu yang membuktikan kesedaran rakyat terhadap jasa pasukan keselamatan semakin tinggi.

Kementerian menyasarkan hanya kira-kira RM6 juta sahaja namun hasil kesedaran rakyat itu akhirnya ia berjaya mencecah RM10 juta itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan bayaran one off sebanyak RM500 kepada 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia yang melibatkan peruntukan berjumlah RM35 juta.

Pada majlis itu, 512 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima pingat berkenaan.

Mohamad turut menganugerahkan kepada 18 balu dan 32 veteran kurang upaya menerima pingat itu.

Majlis itu adalah sesi penganugerahan kelapan diadakan pada tahun ini yang membabitkan 28,209 penerima di seluruh negara.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel