Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dalla Porta rangkul kejuaraan Moto3 di Sepang


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





SEPANG, 3 Nov  -- Juara baharu dunia Moto3, Lorenzo Dalla Porta  merangkul kejayaan ketiga berturut-turut pada saingan MotoGP Dunia apabila memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini.

Selepas GP Jepun dan Australia, pelumba Itali berusia 22 tahun daripada pasukan Leopard Racing itu melengkapkan 17 pusingan perlumbaan dengan catatan masa 38 minit 01.355 saat (s).

Tempat kedua disandang pelumba Estrella Galicia 0,0, Sergio Garcia yang ketinggalan 0.410s manakala Jaumie Masia (Mugen Race) meraih tempat ketiga dengan catatan masa 38:02.158s.

Pelumba pasukan negara, Petronas Sprinta Racing, John McPhee menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh manakala rakan sepasukan, Ayumu Sasaki gagal menamatkan kerana terjatuh di pusingan kesembilan.

Bagaimanapun, perlumbaan awal menyaksikan kedudukan pendahulu sering bertukar tangan antara pelumba petak utama, Marcos Ramirez (Leopard Racing), Gabriel Rodrigo (Kommerling Gresini Moto3) dan Tatsuki Suzuki daripada pasukan SIC58 Squadra Corse.

Namun, Rodrigo terbabas menyebabkan Suzuki dan Alonso Lopez (Estrella Galicia 0,0) gagal mengawal lalu merempuh dalam kemalangan pada pusingan ke-12, menyebabkan mereka gagal meneruskan perlumbaan.

“Rodrigo terbabit dalam kemalangan dan saya cuba mengambil kedudukan baik untuk mendahului saingan. Ia cukup hebat selepas berjaya melakukannya.

“Kejayaan ini juga untuk keluarga pelumba Indonesia, Afridza Munandar yang meninggal dunia semalam,” kata Dalla Porta.

Afridza maut ketika menyertai saingan perlumbaan sokongan GP Malaysia, Piala Bakat Asia (ATC) pada Perlumbaan 1.

Pelumba berusia 20 tahun itu menerima rawatan kecemasan di tepi litar sebelum diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel