Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki bawa 10 pendatang asing dalam MPV, ditahan


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





JOHOR BAHRU, 3 Nov  -- Cubaan seorang lelaki warga tempatan membawa 10 pendatang asing tanpa izin menggunakan sebuah kenderaan gagal apabila kesemua mereka berjaya ditahan di Jalan Senai Utama, Taman Senai Utama Kulai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata lelaki berusia  31 tahun yang membawa tiga wanita dan tujuh lelaki warga Indonesia itu pada  mulanya melarikan diri daripada pemeriksaan polis ketika berada di Jalan Skudai, berhadapan pusat membeli-belah Paradigm Mall pada 1.30 pagi tadi.

Beliau berkata, suspek bersama 10 pendatang asing berusia antara 20 hingga 40 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dinaiki mereka terbabas.

Katanya, lima unit Kereta Peronda (MPV) polis terlibat ketika mengejar kenderaan suspek yang mengambil  masa 20 minit.

“Suspek memandu kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan ketika pihak polis menggunakan  pembesar suara mengarahkan pemandu berhenti untuk pemeriksaan, suspek terus memecut laju dengan agresif. 

“Dengan bantuan MPV lain, sebaik tiba di jalan berkenaan, kenderaan dipandu suspek terbabas dan terus berlanggar dengan sebuah MPV hingga menyebabkan MPV berkenaan mengalami kerosakan di bahagian pintu hadapan dan belakang sebelah kiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Taib berkata suspek kemudian bertindak melarikan diri ke kawasan semak berdekatan tetapi berjaya dikesan dan ditangkap pihak polis.

Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga asing berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen diri yang sah untuk berada di negara ini.

“Bagaimanapun semakan terhadap pemandu tiada rekod dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas kenderaan berkenaan dan satu telefon bimbit.

Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,  Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel