Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

10,500 anggota bomba sedia digerakkan hadapi gelombang kedua banjir


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





KUALA KUBU BAHRU, 3 Nov  -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga menggerakkan 10,500 anggota serta pegawai bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir dan banjir kilat berikutan peralihan Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata 400 pasukan bomba sukarela seluruh negara juga akan dikerahkan bagi membantu mangsa banjir di kawasan berdekatan bencana itu.

Menurutnya, gelombang pertama akibat peralihan monsun berlaku di enam negeri pada minggu lepas iaitu Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Johor.

“Kami sentiasa bersedia menghadapi gelombang kedua yang dijangka berlaku di bahagian Pantai Timur negara dengan persiapan di segi persediaan logistik iaitu pengangkutan air, operasi mencari dan menyelamat serta pesawat udara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan pertandingan Firefighters and Rescue Exercise Challenge (Farex) 2019 di sini, hari ini.

Katanya, latihan pengurusan banjir serta bencana bersama ketua masyarakat setempat turut dilaksanakan bagi menghadapi kemungkinan itu.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata pertandingan Farex adalah inisiatif jabatan berkenaan bagi menilai tahap kompetensi dan kecekapan anggota dalam bidang tugas kebombaan dan penyelamatan.

Menurutnya, seramai 176 pegawai dan anggota bomba dari seluruh negara yang mewakili kontinjen negeri masing-masing menyertai pertandingan yang pertama kali dianjurkan itu.

“Pertandingan ini dapat meningkatkan lagi semangat kerjasama dan persefahaman dalam kalangan anggota selain dapat meningkatkan daya saing dan ketahanan diri bagi menghadapi cabaran semasa tugasan di lapangan,” katanya.

Kontinjen Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang muncul juara keseluruhan pertandingan itu yang membabitkan enam acara termasuk ‘rescue challenge’ dan ‘warrior challenge’.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel