Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JAKOA baiki tangki air bukit yang dirosakkan gajah liar


Tarikh kemaskini: 04/11/2019




GUA MUSANG, 4 Nov -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan segera membaik pulih tangki bekalan tadahan air bukit yang rosak dimusnahkan sekumpulan gajah liar di Kampung Aring 5, di sini, dua hari lepas. 

Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata pihaknya telah menerima aduan berhubung perkara itu dan siasatan akan dilakukan dengan mengenal pasti kerosakan sebelum dibaik pulih secepat mungkin. 

Katanya JAKOA sedang membuat penilaian kos terutama membabitkan pembelian paip baharu kerana tidak mahu masalah berkenaan tertangguh lama dan menyulitkan masyarakat Orang Asli di kampung itu.

"Ini kali pertama tiga tangki tadahan bukit dan paip air di kampung berkenaan dimusnahkan sekumpulan gajah liar," katanya di sini, hari ini. 

Beliau berkata pihaknya juga dimaklumkan bahawa penduduk kampung itu sudah membaiki sendiri kemudahan tadahan air bukit yang mengalami kerosakan kecil yang boleh dibaiki segera.

Dalam kejadian dipercayai berlaku antara 11 malam dan 5 pagi itu, sekumpulan gajah liar berkenaan memusnahkan kemudahan tiga tangki besar dan paip air hingga menyebabkan penduduk Orang Asli terputus bekalan air.

Hashim Alang berkata pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai segala kemudahan yang digunakan penduduk kaum itu dan mengambil tindakan segera untuk membaik pulih jika berlaku kerosakan seperti dimusnahkan gajah.

Katanya, apa yang penting kerjasama penduduk kaum itu untuk melaporkan kepada pihaknya jika berlaku kejadian tidak diingini di kampung mereka.

"Seperti yang kita ketahui kampung itu terletak berhampiran kawasan Taman Negara yang mudah berdepan dengan ancaman gajah liar," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel